Pandang Pertama Vivo X80 Pro – Ini Mungkin Juara Fotografi 2022

Diterbitkan pada Mei 8, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Vivo X adalah siri peranti mercu utama Vivo di Malaysia. Ia hadir dengan spesifikasi hebat dan berkuasa, menggunakan rekaan premium, hadir dengan kemampuan fotografi profesional, serta siri Vivo yang bersaing dengan peranti mercu lain seperti Samsung Galaxy S22 Ultra, OnePlus 10 Pro atau juga iPhone 13 Pro.

Peranti mereka terkini adalah siri Vivo X80 dan yang sudah tiba di makmal Amanz, sejak seminggu lalu adalah Vivo X80 Pro. Dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan peranti ini dalam tempoh yang singkat. Adakah ini peranti fotografi terbaik tahun ini?


Spesifikasi

Vivo X80 Pro
Skrin6.78″ LTPO3 AMOLED QHD+, 120Hz
HDR10+, ~517 ppi
PemprosesSnapdragon 8 Gen 1 (4nm)
Vivo V1+
Cip1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM12GB LPDDR5
4GB Memori maya
Muatan Dalaman256 UFS 3.1
Kamera Utama50 Megapixel (Utama)
8 Megapixel (Persikop Telefoto)
12 Megapixel (Telefoto
48 Megapixel (Sudut Ultra Lebar)
f/1.6+f/3.4+f/1.9+f/2.2
Gimbal OIS, 5x Zum Optikal, Zeiss T*
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.5
Bateri4700 mAh
Pengecasan berwayar 80W
Pengecasan nirwayar 50W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin ultrasonik
Harga JualanRM 4999 (12/256 GB)

Pengalaman Penggunaan

Vivo X80 Pro adalah sebuah peranti mercu yang cukup hebat pada hemat saya. Ia jelas cuba bersaing dengan jenama premium seperti Samsung dan Apple, lebih-lebih lagi cuba bertanding dalam bahagian fotografi. Sambil itu, ciri-ciri premium lain turut tidak dilupakan untuk menjadikan peranti mereka ini antara yang terbaik berada di pasaran. Skrin 6.78-inci AMOLED QHD+ pada peranti ini cukup cantik dan terang.

Kadar segar semula tinggi 120Hz juga amat membantu menjadikan pengalaman penggunaan lebih pantas dan tidak memberi sebarang masalah tatalan atau sela masa pada proses buka atau tutup aplikasi. Skrin melengkung mungkin akan menjengkelkan sesetengah orang, saya tidak suka apabila menonton video kerana kandungan turut masuk kawasan melengkung. Tetapi kualiti penstriman Netflix, HDR10+ tiada masalah untuk dicapai, begitu juga dengan YouTube.

Peranti ini sedap pegang di tangan, ia selesa. Tetapi akan memberi satu kerisauan ia mudah jatuh pada tangan, kerana kemasan panel belakang yang terlampau licin. Ia ada rasa seakan kesat sandstone, tetapi ia tidak mempunyai cengkaman yang baik. Walaupun bonggol kamera bersaiz gergasi, peranti masih seimbang dan selesa untuk dikendalikan.

Rekaan Vivo X80 Pro ini tidak dinafikan nampak seksi dan cantik. Warna hitam ini membuatkan saya jatuh cinta dengan peranti ini. Ia ada sedikit rasa seakan memegang OnePlus 9 Pro, tetapi Vivo rasa jauh lebih premium. Kemudian, bonggol besar kamera ini juga secara tidak langsung meratakan sedikit peranti apabila berada di permukaan rata. Ia tidak terjungkit dan bonggol juga tidak terjojol. Atas dan bawah peranti sedikit rata, di atas ada lubang mikrofon dan sensor infra merah dan di bawah ada slot kad SIM, lubang mikrofon, serta kekisi speaker. Butang kuasa dan butang aras suara sedikit nipis dan kurang selesa, tetapi selepas beberapa hari ia rasa okay sahaja.

Funtouch OS yang menjalankan peranti ini adalah Funtouch OS 12 berasaskan Android 12. Beza dengan jenama lain, kemaskini sekuriti sudah pun April atau Mei – Vivo masih lagi dengan Mac. Ia juga cuba untuk mengimplementasikan penggunaan widget seakan Origin OS di China, namun pengalaman penggunaan widget peranti ini pad saya tidak begitu mesra pengguna. Widget pintar yang ditawarkan juga tidak cukup menarik.

Funtouch OS juga antara sistem operasi China yang masih menggunakan aplikasi SMS dan telefoni tersendiri berbanding penggunaan Google Phone dan Google Messages pada banyak peranti sekarang. Elemen Android 12 seperti tema warna tersuai, kawalan privasi dan sekuriti semuanya baik sekali. Saya yang sudah biasa dengan Android asli, One UI dan MIUI tidak ada masalah pun untuk mencari selok belok Funtouch OS.

Susun atur tetapan sedikit mengelirukan, penggunaan warna juga tidak kena dengan jiwa saya dan paling saya benci adalah setiap kali pasang aplikasi daripada Play Store pasti akan ada iklan yang tidak boleh dipadam.

Prestasi peranti mengejutkan langsung tidak ada masalah serius. Sepanjang penggunaan peranti tidak pernah ada lengah masa, aplikasi tersangkut atau sistem tergendala. Penggunaan ekstrem hanya ada pada kamera yang menjadikan peranti memanas pada tahap sukar untuk dipegang. Namun penggunaan aplikasi lain, tidak ada masalah memanas setakat satu minggu penggunaan.

Bateri tidak banyak yang boleh saya kongsi lagi, tetapi 80W percaya atau tidak saya rasa seakan satu pengecasan yang perlahan kerana sudah biasa dengan peranti yang menawarkan 120W. Tetapi Vivo X80 Pro ini tiada masalah pengecasan dan bateri setakat ini masih lagi standard penggunaan mana-mana peranti Snapdragon 8 Gen 1 iaitu sekitar 4-5 jam SOT.

Audio pada peranti ini masih tidak memuaskan, tetapi syukur ia adalah stereo. Ia masih kurang seimbang dan tidak mempunyai profil audio menarik. Ini menjadikan pengalaman pendengaran dengan peranti ini tidak begitu menyeronokkan. Vivo X80 Pro juga ada sensor inframerah membenarkan pengguna mengubah peranti menjadi alat kawalan jauh. Kemudian pengimbas cap jari bawah skrin juga cukup pantas, di mana S22 Ultra sedikit ketinggalan.

Kamera

Vivo X80 Pro sekali lagi memfokuskan pada kamera. Konfigurasi kamera adalah 50MP, f/1.6 (Utama) + 8MP, f/3.4 (Persikop Telefoto) + 12MP, f/1.9 (Telefoto) + 48MP, f/2.2 (Sudut Ultra Lebar) dengan sokongan gimbal OIS, 5x Zum Optikal, lensa Zeiss T* dan perisian yang cukup menakjubkan.

Aplikasi kamera mudah digunakan. Ia mempunyai ikon Zeiss yang boleh dihidupkan atau dimatikan, memberi pengguna pilihan sama ada ingin menggunakan profil warna Zeiss atau sistem kecerdasan buatan pada peranti yang dikuasakan dengan ISP tersendiri Vivo V1+. Dalam penggunaan ringkas, seperti mengambil video pendek Hari Raya dan gambar-gambar Hari Raya – peranti didapati mudah memanas walau tidak sampai 10 minit penggunaan.

Tiada sebarang amaran diberikan, yang mana itu sepatutnya automatik agar peranti tidak terus digunakan. Walaupun begitu hasilnya pada hemar saya agak memuaskan. Mod potret tidak kira depan atau belakang, mempunyai hasil yang sedap mata memandang dengan butiran yang dipelihara dengan baik. Mod automatik juga agak hebat untuk warna yang dipaparkan, manakala mod kecantikan untuk tambah alat solek pada pengguna wanita atau memudakan pengguna lelaki yang berusia juga tidak menjadi masalah.

Mod malam agak hebat pada peranti ini dengan sokongan pelbagai penuras dan mod-mod menarik untuk menjadikan pengguna peranti ini acah sebagai jurugambar profesional. Untuk makro, secara lalai ia dihidupkan secara automatik dan untuk ambil gambar makro hanya perlu letak peranti pada jarak rapat dengan subjek kerana aplikasi akan ubah fokus secara tersendiri. Mod rakaman video juga mudah digunakan dan mesra pengguna. Walaupun ada banyak tetapan dan pilihan, pengguna mudah untuk biasakan diri.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, menggunakan peranti ini untuk satu minggu tidak memberi masalah serius pada saya kecuali peranti memanas ketika kurang 10 minit menggunakan kamera. Hasil kamera yang menakjubkan, prestasi yang pantas, skrin yang cantik dan peranti juga rasa premium dan mewah. Tetapi untuk kemampuan audio yang tidak memberangsangkan, perisian yang tidak matang kerana peranti mahal pun dipenuhi dengan iklan serta ketahanan bateri yang masih tidak menentu ini – RM4,999 agak mahal.

OnePlus 10 Pro dijual pada harga RM4,199, Samsung Galaxy S22 Ultra pula bermula RM5,099, iPhone 13 Pro bermula RM4,899, Oppo Find X5 Pro masih tiada khabar – Xiaomi tidak sampai RM4K pun, Realme dan Poco pun bawah RM3K dan dalam lingkungan RM2.5K. Harga RM4,199 bukan satu harga yang menawan untuk peranti yang ada iklan tidak boleh dimatikan.

Tetapi jika beli kerana kamera, kerana prestasi dan inginkan nama Zeiss – saya rasa kemampuan kamera di antara peranti ini dan Samsung dua-dua ada keistimewaan masing-masing. Tetapi saya akan pilih kamera Vivo X80 Pro.

Apa ada dalam kotak?

  • Peranti
  • Pengecas 80W
  • Kabel USB-A ke USB-C
  • Set fon telinga
  • Selongsong pelindung
  • Pin SIM

Pro

  • Skrin yang cantik dan hebat
  • Prestasi yang pantas dan menarik
  • Kemampuan kamera yang menawan
  • Pengecasan pantas lebih pantas dari pesaing utama

Kontra

  • Perisian yang penuh iklan
  • Audio yang tidak memuaskan
  • Harga yang kurang menarik perhatian

komen


© Amanz / 2022 Kami