Di medan perang, nyawa askar infantri berada di tangan anggota medik yang memberikan bantuan kecemasan sepantas mungkin. Setiap saat penting untuk memastikan anggota tidak terkorban. DARPA telah memilih Raytheon untuk membangunkan set kepala realiti terimbuh (AR) yang memberikan saranan bantuan kecemasan kepada medik yang cuba menyelamatkan anggota tentera yang cedera.
Isu di medan perang ialah medik bukanlah doktor atau ahli bedah maka mereka tidak mempunyai pengetahuan yang cukup mendalam untuk memberikan rawatan sekiranya prosedur lebih kompleks diperlukan. Set kepala Medical Assistance, Guidance, Instruction, and Correction (MAGIC) dilengkapi kecerdasan buatan yang memberikan saranan berdasarkan video dan imej kecederaan yang dilihat.
Projek masih lagi di peringkat permulaan dengan demonstrasi pertama dijangka dilakukan dalam masa 18 bulan. Sekiranya beroperasi kelak, cara rawatan dengan realiti terimbuh, arahan suara dan saranan memberikan dos ubat-ubatan akan dapat dilakukan oleh MAGIC.
Sebelum ini tentera A.S cuba menggunakan set kepala Microsoft HoloLens di medan perang tetapi projek terpaksa dimulakan semula kerana peranti tidak melepasi piawaian ketahanan apabila digunakan di lapangan ketika ujian.