Lenovo Memperkenalkan Siri Komputer Riba Yoga Slim Baru

Diterbitkan pada Mei 9, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Siri komputer riba Lenovo Yoga diperlihatkan sebagai sebuah siri komputer riba yang nipis, ringan tetapi berkuasa dan boleh digunakan untuk pelbagai jenis tugasan tidak kira didalam ataupun diluar pejabat.

Baru-baru ini, Lenovo telah memperlihatkan beberapa siri komputer riba Yoga baru dibawah jenama Yoga Slim yang hadir dalam sejumlah konfigurasi yang cukup menarik. Bermula dengan Lenovo Yoga Slim 7i Carbon, ia dilihat sebagai komputer riba paling ringan dalam siri ini dengan berat kurang daripada 1kg dan mempunyai ketebalan 14.8mm pada bahagian paling nipis.

Ia dilengkapi dengan paparan bersaiz 13.3 inci dengan resolusi 2.5K dengan nisbah paparan 16:10 dan kadar segar semula 90Hz dan nilai kecerahan setinggi 400 nit. Dari segi konfigurasi komponen, ia dikuasakan oleh CPU Intel Alder Lake yang terbaru.

Dengan nama Carbon, rangka komputer riba ini dilihat diperbuat daripada bahan aloi magnesium yang diperkuatkan oleh penggunaan gentian karbon yang bukan sahaja memberikannya rangka yang kuat, tetapi juga ringan, yang membolehkan komputer riba ini hadir dengan jumlah berat yang sangat rendah.

Lenovo Yoga Slim 9i merupakan komputer riba “carbon neutral” pertama syarikat tersebut, dan ia hadir dengan paparan skrin baru yang dinamakan PureSight yang merupakan sebuah paparan OLED bersaiz 14 inci dengan resolusi 4K dengan penawaran HDR True Black 500.

Komputer riba ini dikuasakan oleh CPU Intel Alder Lake yang terbaru dan menggunakan teknologi Lenovo A.I. Core 2.0 terbaru yang bukan sahaja memastikan data dalam komputer riba anda kekal selamat, tetapi juga memastikan komputer riba ini sentiasa beroperasi pada tahap optimum

Beralih kepada Lenovo Yoga Slim 7/7i Pro X, kedua-dua komputer riba ini merupakan komputer riba produktiviti kelas premium yang bukan sahaja hadir dengan rekaan premium, tetapi juga pilihan CPU AMD dan Intel terbaru yang digabungkan dengan kad grafik NVIDIA GeForce yang membolehkannya dimanfaatkan oleh golongan kreatif profesional.

Komputer riba ini hadir dengan paparan 14 inci dengan resolusi 3K dengan kadar segar semula 120Hz dan boleh memperlihatkan 100 peratus gamut warna sRGB yang pastinya berguna untuk golongan kreatif profesional dalam menyunting video ataupun mengolah objek-objek 3D.

Jika anda mahukan pilihan dalam saiz skrin yang lebih padat ataupun besar, Lenovo Yoga Slim 7 Pro hadir dengan pilihan paparan skrin bersaiz 14 inci ataupun 16 inci dengan resolusi sehingga 2.5K. Pengguna juga boleh memilih untuk mendapatkan model dengan paparan skrin OLED dengan sokongan Dolby Vision dan kebolehan untuk memaparkan 100 peratus gamut warna sRGB.

Dari segi penawaran grafik, komputer riba ini hadir dengan pilihan kad grafik Intel Arc A370M ataupun NVIDIA GeForce RTX 3050Ti yang mana komputer riba ini merupakan diantara yang pertama yang akan menggunakan kad grafik tersebut.

Komputer-komputer riba Lenovo Yoga Slim ini dijangka akan memasuki pasaran-pasaran terpilih, temasuklah Amerika Syrikat dan EMEA menjelang bulan Jun 2022 ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami