ASUS Zenbook Pro 14 Duo OLED Ialah Komputer Dwi-skrin Zenbook Dengan Rekaan Lebih Padat

Diterbitkan pada Mei 10, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Siri komputer riba ASUS Zenbook Pro Duo ialah komputer riba produktiviti dwi-skrin ASUS yang secara lazimnya hadir dengan saiz yang besar dan juga spesifikasi dalaman yang cukup berkuasa sekali.

Sewaktu acara Pinnacle of Performance mereka, ASUS mengumumkan model terbaru dalam siri komputer riba ini yang dinamakan ASUS Zenbook Pro 14 Duo OLED. Keunikan komputer riba ini ialah walaupun ia hadir dengan paparan utama bersaiz 14.5 inci, ia masih lagi mengekalkan kesemua fungsi-fungsi unik yang hadir pada siri komputer riba ini.

Ia dilengkapi dengan paparan OLED bersaiz 14.5 inci dengan resolusi 2.8K dengan kadar segar semula 120Hz dan juga paparan ScreenPad Plus dengan saiz 12.7 inci. Kedua-dua paparan ini juga hadir dengan fungsi sesentuh yang dilihat cukup berguna khususnya untuk paparan sekunder.

Komputer riba ini juga menggunakan sistem pengudaraan Active Aerodynamic System 2.0 yang mengangkat bahagian paparan sekunder ini untuk kenudahan memperlihatkan paparan disamping memberi lebih banyak ruang udara untuk komputer riba ini mengalirkan haba daripada komponen-komponen CPU dan GPU.

Bercakap mengenai komponen dalaman, ASUS Zenbook Pro 14 Duo OLED ini dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Alder Lake yang termasuklah CPU Intel Core i9-12900H dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050Ti yang terbaru.

ASUS turut mengatakan bahawa model ASUS Zenbook Pro 15 Duo OLED yang dilancarkan sebelum ini akan menerima kemaskini CPU Intel Alder Lake tidak lama lagi. ASUS Malaysia pula mengatakan bahawa pelancaran tempatan untuk siri komputer riba ini akan diadakan tidak lama lagi.

komen


© Amanz / 2022 Kami