Carian
Siri ASUS Zenbook S OLED Memenuhi Keperluan Komputer Riba Padat Dan Berkuasa Anda
May 10, 2022 Nazrin

Sewaktu acara Pinnacle of Performance yang baru sahaja berlangsung, ASUS memperlihatkan sebuah siri komputer riba yang dinamakan ASUS Zenbook S OLED yang bukan sahaja hadir dengan saiz padat tetapi juga hadir dengan komponen yang menjanjikan prestasi yang hebat.

Dua model komputer riba yang diperlihatkan melalui siri ini termasuklah ASUS Zenbook S 13 OLED dan juga ASUS Zenbook S 13 Flip OLED yang mana kedua-duanya hadir dengan paparan skrin OLED bersaiz 13.3.

Bermula dengan ASUS Zenbook S 13 OLED, komputer riba ini dikuasakan oleh CPU AMD Ryzen 7 6800U bersama-sama dengan cip pemprosesan grafik AMD Radeon 680M. Ia digabungkan dengan paparan OLED dengan resolusi 2.8K dan menggunakan rekaan paparan NanoEdge yang menjanjikan bingkai nipis di keempat-empat sisi.

Diantara fungsi yang menarik termasuklah penggunaan teknologi pengecasan USB-C Easy Charge yang mengecas komputer riba ini dengan cepat dan mudah, dan juga jangkahayat bateri selama 19 jam dengan satu pengecasan penuh.

Rekaan komputer riba ini juga sangat nipis, menggunakan aloi magnesium yang membolehkannya hadir dengan ketebalan 14.9mm sahaja dan berat 1KG sahaja, menjadikannya komputer riba produktiviti yang sangat sesuai untuk dibawa kemana-mana.

ASUS Zenbook S 13 Flip OLED pula ialah sebuah komputer 2-dalam-1 yang dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Alder Lake, dan memberikan komputer riba ini ciri-ciri tambahan seperti sokongan untuk palam sambungan Thunderbolt 4 yang boleh digunakan untuk menyambungkan komputer riba ini kepada paparan yang mempunyai sokongan sambungan menggunakan USB-C.

Komputer ASUS Zenbook S 13 Flip OLED juga hadir dengan engsel ErgoLift Hinge 360 yang membolehkan bahagian engsel tersebut dilipat 360 darjah untuk menjadikan komputer riba ini sebagai sebuah tablet. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa untuk memudahkan proses log masuk kedalam komputer riba.

Sama seperti ASUS Zenbook S13 OLED, rangka komputer riba ini juga diperbuat daripada aloi magnesium yang membolehkan rekaan komputer riba ini hadir pada ketebalan 14.9mm dan mempunyai berat 1.1KG sahaja.

ASUS Malaysia turut mengatakan bahawa mereka akan mengumumkan pelancaran siri komputer riba ASUS Zenbook S 13 OLED ini untuk pasaran tempatan tidak lama lagi.

Komen