ASUS Vivobook Pro Hadir Dengan Penawaran Komponen Premium Dalam Rekaan Minimalis

Diterbitkan pada Mei 10, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Siri komputer riba ASUS Vivobook sebelum ini dikenali sebagai siri komputer riba produktiviti yang secara lazimnya digunakan untuk kegunaan santai di rumah ataupun untuk tujuan produktiviti di pejabat yang tampil dengan tawaran tanda harga mampu-milik.

Sewaktu acara Pinnacle of Performance baru-baru ini, ASUS telah mula memperkenalkan siri komputer riba ASUS Vivobook Pro yang memperlihatkan penggunaan komponen-komponen premium yang sesuai untuk gamer dan juga kreatif profesional yang lebih mahukan sebuah komputer riba dengan kemampuan berkuasa.

Komputer-komputer riba ini termasuklah ASUS Vivobook Pro 16X OLED, Vivobook Pro 15X OLED, ASUS Vivobook Pro 14X OLED, ASUS Vivobook 16 OLED dan ASUS Vivobook 15 OLED. Komputer-komputer riba ini hadir dengan penawaran CPU daripada AMD dan juga Intel, yang termasuklah pilihan konfigurasi AMD Ryzen 9 6900HX dan Intel Core i9-12900H, memori DDR5 sehingga 32GB dan juga pilihan kad grafik NVIDIA sehinggalah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070Ti.

Didalam siri komputer riba ini juga ialah penawaran paparan OLED baru bersaiz 16 inci dengan resolusi 3.2K dengan kadar segar semula 120Hz dan paparan OLED bersaiz 15.6 inci dengan resolusi 2.8K dan kadar segar semula 120Hz.

Kesemua paparan-paparan ini juga hadir dengan piawaian DisplayHDR True Black 600 dan hadir dengan rekaan hampir nirbingkai NanoEdge yang membolehkan saiz paparan dimaksimakan dalam rekaan rangka komputer riba yang lebih kecil.

Dalam pada itu, keunikan lain yang diperlihatkan pada komputer-komputer riba ini termasuklah penggunaan kekunci dwi-warna hitam dan kelabu dan juga kehadiran ASUS DialPad maya, iaitu fungsi ASUS Dial yang terbina didalam pad sesentuh komputer riba ini yang membolehkan pengguna untuk memanfaatkannya untuk tujuan mengolah dan menyunting video, lukisan dan sebagainya.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa pelancaran komputer riba ini untuk pasaran tempatan akan diperlihatkan dalam masa terdekat ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami