Cari @ Amanz

Digital Wellbeing adalah alat yang sedia terbina dalam peranti Android untuk memantau aktiviti penggunaan peranti oleh pengguna. Pengguna yang berdisiplin boleh gunakan Digital Wellbeing untuk memastikan diri sentiasa sihat, cergas dan tidak alami obsesi terhadap peranti pintar.

Sejak beberapa tahun ciri ini sudah wujud, Google sentiasa mempertingkatkan kemampuan ciri ini. Daripada kawalan penggunaan peranti sebelum tidur, mengubah skrin menjadi hitam putih atau menghalang aplikasi daripada diakses semuanya boleh dilakukan. Terkini, Google akan memalapkan gambar latar pada peranti jika menggunakan Bedtime Mode pada Digital Wellbeing.

Ia boleh memaparkan 100% terang dan menurun sehingga 0% gelap atau terus mematikan gambar latar. Ciri ini ditawarkan untuk menjaga mata pengguna agar tidak terkejut selepas berejam tonton TikTok, tatal Twitter dan sebagainya – kembali ke skrin utama dan gambar latar cerah boleh membuatkan mata sakit sementara.

Ciri ini akan hadir dengan fungsi penjadualan Digital Wellbeing dan mungkin turut akan hadir dalam mod gelap pada Android 13 akan datang. Google I/IO 2022 pun sudah hampir, sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd