Apa Itu NAS? Ini Ringkasan Fungsi Paling Menarik

Diterbitkan pada Mei 24, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pernahkah anda mendengar perkataan Network Attached Storage? Atau sebutan mudahnya disebut sebagai “NAS”? Untuk anda yang tidak biasa mendengar terma ini, NAS merupakan storan pintar tetapi dalam bentuk perkakasan. Dari segi rekaannya, ia dilengkapi dengan cakera keras dan ditawarkan dengan pelbagai fungsi penggunaan. Namun begitu, fungsi utamanya adalah untuk menyimpan pelbagai jenis fail. Ia boleh diakses oleh ahli keluarga di rumah atau juga rakan sekerja di pejabat. Anda boleh mengakses fail-fail seperti gambar dan video secara atas talian sahaja dengan bantuan sambungan internet. Jadi, ini adalah antara fungsi-fungsi NAS yang anda perlu tahu.

1. Pusat Penyimpanan Multimedia

Pernahkah anda mengalami situasi dimana anda dan keluarga pergi bercuti dan ingin berkongsi pelbagai memori, namun disebabkan gambar-gambar anda ini berada di peranti milik ahli keluarga, proses memuat naiknya ke media sosial sedikit terbantut? Jadi dengan adanya NAS daripada Synology, ia boleh dijadikan sebagai pusat untuk menyimpan pelbagai jenis multimedia dan ia boleh diakses oleh seluruh ahli keluarga yang telah ditetapkan.

Memperkenalkan solusi daripada Synology untuk menyimpan dan menguruskan gambar, iaitu Synology Photos.

Melalui penawaran daripada Synology ini, anda dapat mencari gambar-gambar yang anda inginkan di Synology Photos dengan mudah. Ini kerana, Synology Photos ini akan kategorikan gambar mengikut wajah individu yang diambil, mengikut turutan garis masa gambar diambil dan sebagainya. Sekiranya ingin berkongsi fail gambar ini kepada orang lain, anda boleh menghantar pautan dan juga membuat tetapan kepada siapa yang anda izinkan untuk mengaksesnya. Bagi memastikan keselamatan gambar anda tidak diceroboh, anda juga boleh tetapkan kata laluan dan tarikh tamat tempoh pautan perkongsian tersebut.

2. Membuat Sandaran Fail

Untuk anda yang belum kenal bagaimana bentuk NAS ini, kebiasaannya ia akan dilengkapi dengan beberapa drive-bay. Jadi apabila Synology NAS ini dijadikan sebagai pusat penyimpanan multimedia, tentunya akan terlintas di fikiran anda tentang apa akan jadi pada segala fail anda jika terdapat masalah pada salah satu drive-bay NAS ini, bukan? Anda tidak perlu risau fail anda akan hilang kerana drive-bay yang tidak rosak akan menghasilkan sandaran fail (backup file) melalui kaedah RAID atau SHR untuk data-data yang telah dipindahkan kepadanya. Jadi, fail-fail anda tidak akan terjejas.

RAID : Ia berfungsi untuk menyimpan data-data yang sama di banyak cakera keras. Walaupun fail disimpan di cakera keras yang berbeza, teknologi ini akan menggabungkan cakera keras ini untuk jadikannya seperti satu storan tunggal supaya ia berfungsi sebagai satu pemacu apabila disambungkan kepada mana-mana perkakasan lain. Perkara ini dapat melindungi data-data anda daripada rosak jika berlaku kegagalan pemacu.

Jenis RAID yang biasanya kita dengar adalah RAID 0 dan juga RAID 1. Kedua-dua jenis RAID ini menawarkan fungsi yang berbeza. Bagi RAID 0, ia boleh memindahkan fail dengan kelajuan yang tinggi berbanding RAID 1. Namun begitu, jika berlaku kerosakan pada RAID 0, data yang disimpan kedalamnya tidak dapat diselamatkan. Tetapi jika anda ingin membuat sandaran fail berskala besar, boleh memilih RAID 1 kerana ia berfungsi untuk menyalin semula data secara keseluruhan, dan jika berlaku kerosakan pada salah satu cakera keras, fail anda masih lagi selamat dan tidak terkesan.

SHR : Ia pula merupakan versi automatik untuk kaedah RAID ini. Sistem ini membolehkan anda untuk dapatkan fleksibiliti dalam menguruskan ruangan storan dengan lebih optimum. Ini kerana teknologi SHR ini menyediakan fungsi sandaran data ruangan storan yang terdiri daripada dua atau lebih cakera keras serta membolehkannya untuk membahagikan ruangkan storan tersebut kepada beberapa bahagian bagi membolehkan anda untuk menguruskan penyimpanan fail dengan lebih efisien. Anda disarankan menggunakan kaedah ini jika merupakan pengguna baru NAS Synology.

3. Membantu Produktiviti Untuk Bekerja Dari Rumah

Jika dahulu, agak sukar untuk kita bekerja dari rumah dengan pengetahuan teknologi kita yang sedikit. Namun sekarang setelah hampir dua tahun kita mengamalkan norma baharu, budaya bekerja dari rumah sudah tidak asing lagi untuk kita. Ini kerana norma baharu ini membuatkan kita mengadaptasikan teknologi yang semakin canggih dan sangat memudahkan kehidupan seharian kita. Seperti adanya Synology NAS, ia memudahkan produktiviti harian kita untuk bekerja dari rumah.

Melaluinya, anda boleh selarikan fail-fail daripada komputer anda kedalam storan awanan secara masa nyata dan ia boleh diakses dengan pantas oleh rakan sekerja anda yang lain bagi memudahkan produktiviti kerja masing-masing. Disini juga anda boleh berkomunikasi dengan rakan sekerja melalui ruang sembang yang disulitkan. Jadi, Synology NAS ini bukan sahaja menyelesaikan masalah harga langganan yang mahal untuk menyimpan dokumen secara awanan, malah ia juga membantu produktiviti harian anda.

4. Sistem Pengawasan

Synology NAS ini boleh juga dijadikan sebagai alat pemantuan, pengurusan dan penganalisis video daripada rakaman kamera keselamatan. Ini kerana, Synology NAS ini menyokong pelbagai jenis kamera dan segala rakamannya akan disimpan kedalam NAS untuk dipantau oleh individu yang mempunyai akses kepadanya. Solusi dalam Synology NAS, iaitu Surveillance Station 9.0 mempunyai sistem pengecaman wajah terbina padanya. Jadi jika ia mengecam identiti yang tidak dikenali, sistem ini akan menghantar notifikasi sebagai amaran.

Sekiranya anda ingin melihat semula rakaman, ia boleh dijumpai dengan mudah jika diperlukan. Selain boleh membuat video bergerak laju, anda juga boleh menggabungkan bahagian-bahagian penting menjadi satu rakaman atau juga memilih tempoh masa rakaman yang tertentu untuk disimpan sebagai rujukan. Bukan sekadar itu, sistem penganalisis video yang ada pada Synology NAS ini juga akan membunyikan loceng penggera jika ia mengecam terdapat sebarang perubahan sepanjang rakaman, seperti pergerakan aneh, barang hilang, lensa kamera ditutup dan sebagainya.

5. Pelayan Media

NAS daripada Synology ini juga menyertakan fungsi penstriman audio dan juga video, yang digelar sebagai Audio Station dan juga Video Station. Video Station ini dapat menyimpan pelbagai metadata untuk filem. Anda boleh menggunakan kedua-dua Audio Station dan juga Video Station ini dalam rangkaian tempatan anda melalui Universal Plug and Play (UPnP) atau Digital Living Network Alliance (DLNA) untuk memainkan media dan mengakses NAS anda dari jauh melalui QuickConnect.

Anda juga boleh menstrim media daripada peranti yang telah disambungkan kepada rangkaian rumah anda daripada pelayan media Plex melalui NAS. Memandangkan hampir kesemua platform menyokong pelayan media Plex ini termasuklah televisyen pintar, anda hanya perlu aktifkan pelayan media Plex sahaja dan anda sudah boleh menstrim media yang disimpan di dalam NAS kemana-mana peranti dengan mudah dan cepat.

Bagaimana Untuk Memilih NAS Yang Terbaik Untuk Kegunaan Anda?

Apa yang menariknya jika anda membeli NAS daripada Synology adalah, mereka akan membantu anda untuk senarai-pendekkan model-model NAS yang sesuai untuk kegunaan anda. Anda hanya perlu layari laman rasmi NAS, dan pilih kategori pengguna sama ada untuk kegunaan rumah atau pejabat, kemudian pilih pula jenis penggunaan sama ada untuk menyimpan data atau sebagainya. Setelah itu, pilih berapa ramai pengguna yang boleh mengakses NAS ini dan akhir sekali pilih sama ada anda perlukan sistem pengecaman wajah atau tidak sebelum pihak Synology menyenaraikan model-model yang memenuhi kriteria yang anda inginkan.

Namun, jika anda ingin memenangi NAS secara percuma, anda boleh memenanginya dengan cara menyertai sesi kaji selidik Synology dan berpeluang memenangi Synology NAS DS420+ secara percuma. Kaji selidik ini akan mula diadakan pada hari ini sehingga 20 Jun kelak. Jadi, jangan lepaskan peluang ini untuk dapatkan NAS secara percuma.

*Kaji selidik ini boleh dijawab dalam Bahasa Malaysia dan juga Bahasa Inggeris.

Penafian : Advertorial daripada Synology

komen


© Amanz / 2022 Kami