Razer Viper V2 Pro Kini Rasmi – Tetikus Untuk Pemain Pro Pada Harga RM749

Diterbitkan pada Mei 11, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Razer sehingga hari ini masih terkenal sebagai pengeluar aksesori dan gajet untuk para pemain permainan video. Razer mempunyai pelbagai produk daripada tetikus, papan kekunci, set fon kepala dan banyak lagi.

Seperti jenama gaming lain, Razer juga ada peminat setia tersendiri yang akan menggunakan semua produk untuk berada dalam satu ekosistem. Terkini Razer telah melancarkan Razer Viper V2 Pro, sebuah tetikus ringan yang menggunakan sensor optikal Focus Pro 30K untuk prestasi lebih lancar dalam meleret, menekan dan beraksi dalam permainan kegemaran.

Menurut Razer, walaupun tetikus ini 20% lebih ringan berbanding model lama iaitu 58g – tiada fungsi atau ciri dikorbankan. Apa yang ada dulu kekal, bahan binaan dan kemasan premium juga kekal. Viper V2 Pro mempunyai kejituan 99.8% dengan sensor baharu, ia juga mempunyai ciri kecerdasan buatan seperti Smart Tracking, Motion Sync and Asymmetric Cut-off, 26 aras ketinggian boleh-ubah untuk keselesaan pengguna ketika angkat dan letak daripada pad tetikus.

Suis pada setiap butang juga mempunyai kemampuan klik berjuta kali, jaminan tiada isu apabila menekan dua kali serentak, boleh bertahan sehingga 90 juta klik – semuanya kerana suis Optical Mouse Switches Gen-3 tersendiri Razer.

Razer Viper V2 Pro hanya boleh didapati dengan warna hitam atau putih pada harga RM749.

komen


© Amanz / 2022 Kami