Intel hari ini telah melancarkan siri cip pemprosesan Intel Alder Lake HX, iaitu siri CPU komputer riba dengan prestasi dan fungsi-fungsi sebuah cip komputer desktop, termasuklah sokongan untuk teknologi baru seperti DDR5 dan juga PCIe 5.0.
Siri CPU ini terdiri daripada tujuh model, dua diantaranya adalah CPU dari siri Intel Core i9, tiga daripadanya ialah siri CPU Intel Core i7, dan dua lagi ialah daripada siri CPU Intel Core i5. Kedua-dua CPU Intel Core i9 HX ini mempunyai lapan teras P dan lapan teras E.

Dua daripada siri CPU Intel Core i7 ini mempunyai jumlah teras yang sama, manakala model ketiga mempunyai sejumlah 6 teras P dan 8 teras E. Untuk model Intel Core i5 pula, satu model hadir dengan jumlah teras 4 teras P dan 8 teras E, manakala model kedua hadir dengan 4 teras P dan 4 teras E.

Dari segi sokongan memori, kesemua cip pemprosesan ini menyokong kedua-dua memori DDR4 dan DDR5 yang baru, termasuklah DDR5-4800, DDR4-3200 dan LPDDR4-4267. Bagi mereka yang memerlukannya, sejumlah model CPU dan papan induk Z690 untuk komputer riba ini juga dilihat menyokong memori ECC yang mengurangkan isu data rosak dalam pemindahan memori yang secara lazimnya diperlukan oleh komputer yang digunakan oleh profesional kreatif.
Walaupun kesemua cip-cip pemprosesan ini hadir dengan ciri lewahjam memori terbina, manakala dua daripada CPU-CPU ini, iaitu Intel Core i9-12900HX and Intel Core i7-12800HX hadir dengan fungsi lewahjam manual sekiranya anda memerlukan prestasi yang lebih hebat pada komputer riba anda.

Lebih penting lagi ialah CPU ini dilihat mempunyai sokongan untuk penambahan pengawal Thunderbolt 4 tambahan, yang membolehkan lebih banyak lagi aksesori Thunderbolt 4 dipasang pada komputer riba ini.

Kehadiran sokongan PCIe 5.0 x16 juga membolehkan komputer riba yang menggunakan CPU ini menambah sokongan untuk dua SSD PCIe 4.0 tambahan, selain daripada satu slot yang akan disambungkan terus kepada CPU dimana kesemuanya boleh digunakan pada kelajuan pembacaan dan penulisan data yang penuh.
Ujian awal Intel memperlihatkan bahawa prestasi satu bebenang dan multi-bebenang cip pemprosesan Intel Alder Lake HX ialah 17 peratus dan 64 peratus berbanding dengan siri cip pemprosesan Intel generasi ke-11 sebelum ini.

Intel mengatakan bahawa sekitar 10 komputer riba gaming akan dilancarkan oleh pelbagai jenama seperti ASUS, GIGABYTE, Lenovo, MSI dan sebagainya tidak lama lagi, dan komputer-komputer riba gaming ini akan memperlihatkan prestasi yang sangat berkuasa apabila digabungkan dengan komponen-komponen berkuasa yang lain.