Cari @ Amanz

Dengan pelancaran cip pemprosesan Intel Alder Lake HX untuk komputer riba berkuasa tinggi, Lenovo juga turut memperkenalkan dua siri komputer riba baru, iaitu Lenovo Legion 7i dan juga Lenovo Legion Slim 7i.

Bermula dengan Lenovo Legion 7i, komputer riba ini hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 16 inci dengan resolusi WQXGA (2560×1600) dengan kadar segar semula sehingga 240Hz dengan rekaan paparan skrin berbingkai nipis.

Lenovo Legion 7i dilengkapi dengan pilihan CPU Intel Core i9-12900HX ataupun Intel Core i7-12800HX yang digabungkan bersama memori 32GB DDR5 4800MHz dan storan SSD PCIe4 yang hadir dalam penawaran 512GB, 1TB dan juga 2TB.

Dari segi grafik pula, Lenovo Legion 7i hadir dengan pilihan kad grafik yang sangat berkuasa, termasuklah NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti ataupun NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti yang tampil dengan teknologi Max-Q yang membolehkan komponen ini dimuatkan dalam komputer riba ini.

Sama seperti rekaan komputer riba Lenovo Legion sebelum ini, ia hadir dengan rekaan minimalis, dengan rangka yang diperbuat daripada gabungan aloi aluminum dan juga magnesium. Rekaan serba hitam ini diceriakan dengan sistem pencahayaan RGB yang dapat dilihat pada bahagian sisi komputer riba ini dan juga teks Legion yang tertera di bahagian belakang komputer riba ini.

Beralih kepada Lenovo Legion Slim 7i pula, komputer riba ini hadir dengan dua pilihan paparan bersaiz 16 inci. Pilihan pertama menggunakan panel MiniLED dengan resolusi 2560×1600 dengan kadar segar semula 165Hz dan nilai kecerahan setinggi 1250 nit dengan sokongan DisplayHDR 1000.

Paparan kedua pula menggunakan panel IPS dengan saiz dan resolusi yang sama, tetapi mempunyai kadar segar semula setinggi 240Hz dengan nilai kecerahan 500 nit dan sokongan DisplayHDR 500.

Dari segi penawaran komponen, Lenovo Legion Slim 7i dikuasakan oleh tiga pilihan CPU, termasuklah Intel Core i9-12900HK, Intel Core i7-12700H dan Intel Core i5-12500H. Ia juga hadir dengan pilihan memori DDR5 sebanyak 16GB dan pilihan storan SSD PCIe4 sebesar 512GB, 1TB dan 2TB.

Dari segi penawaran kad grafik pula, Lenovo Legion Slim 7i ini hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070 dan juga NVIDIA GeForce RTX 3060.

Kelebihan komputer riba ini dilihat pada kenipisannya, dimana pada bahagian paling nipis, ia hanya diukur pada ketebalan 16.9mm. Ia juga mempunyai berat sekitar 2KG, menjadikannya cukup nipis untuk dibawa kemana-mana.

Lenovo mengatakan bahawa komputer-komputer riba ini akan tiba ke pasaran-pasaran terpilih sekitar penghujung bulan Mei ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd