Carian
Ciri Google Multisearch Dipertingkatkan Dengan Menunjukkan Produk Dan Restoran Berhampiran
May 12, 2022 Effi Saharudin

Tahun ini Google Multisearch diperkenalkan pada Google Lens yang membolehkan konteks diberikan dengan lebih terperinci semasa melakukan carian. Sebagai contoh anda mungkin suka dengan gambar baju dan kemudian menggunakan Google Lens untuk mengetahui jenamanya. Kemudian dengan Multisearch anda boleh mengarahkan baju yang sama dicari dalam warna lain dari gambar. Dengan pemahaman konteks lebih baik, Google Search boleh melakukan carian menggunakan gambar dan teks yang diberikan.

Ciri Multisearch telah dipertingkatkan lagi di Google I/O dengan ciri Near Me. Selepas carian dilakukan oleh pengguna, Search boleh mencari lokasi barang yang dicari berhampiran dengan pengguna. Dalam demo yang diperlihatkan, pengguna mungkin sedang mencari makanan tengah hari. Search kemudian boleh memberikan saranan restoran berhampiran dengan menu yang anda inginkan lengkap dengan skor ulasan da kemudiannya integrasi dengan Google Maps.

Turut dilancarkan ialah ciri “scene exploration” pada Google Lens yang memaparkan maklumat mengenai makanan di dalam kedai runcit secara realiti terimbuh (AR). Skor ulasan dan maklumat mengenai khasiat boleh diakses dengan hanya meletakkan produk di hadapan telefon pintar apabila aplikasi Google Lensa dibuka. Dengan ciri ini maklumat penting mengenai produk yang ingin dibeli seperti kandungan yang mungkin menyebabkan alahan boleh diberikan tanpa carian secara manual dilakukan.

Komen