Ciri Google Assistant turut dipertingkatkan di Google I/O dengan kemampuan memahami perbualan dengan lebih semula jadi. Apabila arahan diberikan oleh manusia, Assistant boleh memahaminya walaupun pengguna berhenti bercakap, mendeham dan melakukan kesilapan. Ini menjadikan interaksi dengan Assistant lebih mirip perbualan antara dua manusia.
Bagi pengguna Nest Hub Max, Assistant akan mengecam wajah pengguna dan ia boleh memahami arahan suara diberikan walaupun pengguna tidak meyerunya dengan “hey Google” seperti kebiasaannya. Pengguna hanya perlu memandang peranti dan kemudian memberikan arahan “cari restoran Thai berhampiran” dan ia akan terus melakukan carian.

Ciri yang diberi nama Look and Talk diberikan kepada pengguna di Amerika Syarikat dahulu bermula hari ini. Mereka perlu mengaktifkan ciri Face Match dan Voice Match untuk menikmati ciri ini.

Ciri Quick Phrases turut dikembangkan lagi ke Nest Hub Max. Dengan Quick Phrases arahan yang biasa diberikan boleh diberikan juga tanpa Assistant diseru terlebih dahulu. Sebagai contoh arahan meletakkan penggera dan membuka lampu pintar disebut sahaja dan Assistant akan memahaminya.