Apabila menggunakan Google Maps, saya gemar memilih mod Street View untuk melihat sendiri rupa kawasan yang ingin dilawati. Secara lazimnya Street View akan hanya menunjukkan keadaan di waktu siang hari. Tetapi ini kerap berbeza dengan keadaan di waktu malam yang mungkin lebih sibuk atau kurang selamat. Jadi untuk memberikan pemandangan sebenar sesebuah kawasan, Google Maps kini hadir dengan ciri Immersive View.

Dengan Immersive View pengguna boleh memilih untuk melihat pemandangan sebenar kawasan pada waktu yang tertentu. Tahap kesibukan jalan, kedai dan keadaan keselamatan boleh dilihat sendiri sebelum anda melakukan perjalanan. Selain waktu, pengguna juga boleh memilih keadaan cuaca.

Immersive View turut memberikan pemandangan seakan terbang di dalam restoran tertentu sebelum anda melakukan tempahan untuk makan. Immersive View kini disokong pada kotaraya Los Angeles, London, New York, dan San Francisco terlebih dahulu sebelum Tokyo hadir menjelang penghujung tahun.