Cari @ Amanz

Sonos, jenama audio premium terkemuka baru sahaja mengumumkan bahawa mereka akan mula membuka pra-tempahan untuk pembesar suara teater terbaru mereka, Sonos Ray untuk pasaran tempatan tidak lama lagi.

Sonos Ray

Mengatakan bahawa sejak isu pandemik bermula, orang ramai, walaupun di Malaysia dilihat telah membelanjakan wang untuk menaiktaraf kualiti audio bukan sahaja untuk tujuan tontonan yang lebih menyerupai panggung wayang, tetapi juga untuk pelbagai jenis tujuan lain seperti memperbaiki suasana rumah.

Kelebihan Sonos Ray dapat dilihat dan didengari daripada beberapa sudut. Pembesar suara ini hadir dengan rekaan yang padat, khususnya apabila ia dibandingkan dengan pembesar suara teater mereka yang lain seperti Sonos Arc. Ini membolehkan Sonos Ray dimuatkan dalam bukaan yang tidak begitu besar.

Seperti kebanyakan pembesar suara Sonos yang lain, Sonos Ray boleh disambungkan ke internet melalui WiFi, dan ia hadir dengan sokongan untuk pelbagai perkhidmatan penstriman audio seperti Amazon Music HD, Apple Music, Spotify, Tidal dan sebagainya.

Ia boleh disambungkan ke televisyen anda menggunakan kabel optikal, yang bermakna ia boleh menyahkod codec audio seperti Stereo PCM, Dolby Digital and DTS Digital Surround, tetapi tidak hadir dengan sokongan untuk Dolby Atmos seperti Sonos Arc dan Beam.

Jika anda memiliki sebuah peranti iOS, anda juga boleh menggunakan aplikasi Sonos untuk menyuaikan pembesar suara ini dengan persekitaran bilik anda menggunakan ciri Sonos Trueplay. Ia menggunakan fungsi penyesuaian jarak terbina dalam peranti tersebut untuk memastikan anda boleh mendengar kualiti audio terbaik apabila menonton filem-filem kegemaran anda.

Dari segi komponen yang hadir, bersendirian ia merupakan sebuah pembesar suara 3.0 dengan tiga satelit audio terbina, tetapi sama seperti peranti ekosistem yang lain, ia boleh disambungkan kepada peranti Sonos yang lain seperti Sonos One, Sonos Five dan juga Sonos Sub untuk membina sebuah setup teater rumah dengan ciri surround sound.

Sonos Malaysia mengatakan bahawa pra-tempah untuk pembesar suara Sonos Ray ini akan dibuka bermula 14 Mei ini pada harga RM1799 melalui laman web Try Sonos. Ia akan mula dijual secara rasmi di pasaran tempatan melalui Harvey Norman dan Lazada pada 24 Jun ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd