Sony WH-1000XM5 Kini Rasmi – Boleh Dipra-tempah Pada Harga RM1799 Di Malaysia

Diterbitkan pada Mei 13, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sony kini telah memperkenalkan fon kepala terbaru mereka, iaitu Sony WH-1000XM5, sekaligus meneruskan penawaran produk audio berkualiti tinggi kepada pengguna.

Sony WH-1000XM5 ini menawarkan sokongan pembatalan bunyi hinggar yang sangat baik, selain turut menyediakan kualiti bunyi lebih mengasyikkan berbanding pelbagai pesaing lain di pasaran. Kualiti pembatalan hinggar juga adalah lebih baik berbanding XM4 – hasil penggunaan sehingga lapan mikrofon pada fon kepala ini.

Pada masa yang sama, fon kepala ini mengekalkan rekaan ikonik Sony, dan diberikan nafas baharu sedikit berbanding generasi sebelumnya. Sony turut menggunakan sehingga empat mikrofon dalam membolehkan anda melakukan panggilan suara dengan mudah menggunakan fon kepala ini.

Sony WH-1000XM5 ini menawarkan masa penggunaan sehingga 30 jam lamanya dengan mengaktifkan ciri pembatalan hinggar, dan sehingga 40 jam apabila nyah-aktifkannya. Ini sekaligus menjadikan masa penggunaan tambahan 10 jam berbanding generasi sebelumnya. Pelbagai piawaian audio disokong melaluinya, termasuk LDAC, dan juga sokongan kesan audio spatial Sony 360 Reality Audio.

Menariknya, Sony turut membawa masuk fon kepala ini dengan pantas untuk pasaran Malaysia. Bagi anda yang berminat, sudah boleh pra-tempah ia pada harga RM1799 di Malaysia – dan ia akan dihantar bermula 8 Jun 2022 kelak.

komen


© Amanz / 2022 Kami