Motorola kini hadir dengan penambahan peranti pintar baharu di bawah siri G. Melaluinya, Motorola Moto G82 telah diumumkan dengan spesifikasi kelas pertengahan dan menyokong rangkaian 5G secara terbina.
Bercakap lebih lanjut, ia mempunyai reka bentuk yang ringkas dan serupa dengan beberapa peranti Motorola sedia ada. Skrin yang digunakan bersaiz 6.6-inci AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Ia kemudiannya dipadankan dengan cip Snapdragon 695, memori 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Turut melengkapinya, ruang tambahan menerusi kad microSD yang boleh dikembangkan sehingga 1TB.
Sistem tri-kamera utama terdiri dengan tetapan 50MP dengan OIS, 8MP untuk sensor ultra-lebar dan 2MP pula bagi tujuan makro. Kamera ini turut menyokong rakaman video sehingga FHD/60fps. Tidak ketinggalan, kamera hadapan sebesar 16MP turut melengkapi peranti pintar ini. Lain-lain spesifikasi termasuklah bateri 5,000mAh dengan pengecasan pantas 30W, pengimbas cap jari sisi, menjalankan Android 12 dan banyak lagi.
Untuk harga, Motorola Moto G82 dijual pada €329.99 (~RM1,507) dengan dua pilihan warna seperti kelabu dan putih. Buat masa ini, belum ada sebarang perkongsian lanjut mengenai ketersediaan peranti pintar ini untuk pasaran tempatan.