Oppo Find N sehingga hari ini masih lagi peranti dengan skrin boleh-lipat paling masuk akal. Saiz dan rekaan yang sangat efisien, praktikal dan mudah dikendalikan ini adalah apa yang patut semua pengeluar ikuti.
Peranti ini juga menggunakan engsel berbeza yang boleh menyembunyikan kesan lipatan agar skrin kelihatan kemas, cantik dan selesa digunakan.
Terkini, Oppo Find N telah menjadi peranti dengan skrin boleh-lipat pertama menjalankan Android 13 Beta. Versi Beta yang peranti ini terima adalah versi sama yang Google keluarkan pada hujung April lalu. Ia juga sudah hadir dengan beberapa aplikasi sistem dan perubahan daripada Oppo tersendiri.
Lebih menarik, Oppo menggunakan sistem Google GMS menjadikan peranti ini boleh dikemaskini ke versi beta ini tanoa memerlukan perisian tambahan. Cuma dengan jualan peranti ini terhad, akses kepada beta ini juga dihadkan kepada pembangun di China yang terpilih sahaja.
Samsung yang sudah ada peranti dengan skrin boleh-lipat popular pun masih belum menawarkan Android 12L atau Android 13 untuk peranti mereka. Oppo yang terhad jualan ini sudah mula, adakah Oppo boleh bersaing dengan Samsung untuk peranti seperti ini?