Cari @ Amanz

Vivo S15e telah dilancarkan dengan Exynos 1080 sekitar bulan April lalu. Selain daripada itu, ia juga menampilkan kamera utama 50MP dengan ciri menarik lain seperti sistem pengecasan pantas 66W. Terbaru, Vivo bakal membuat penambahan lagi dengan memperkenalkan S15 dan S15 Pro pula. Pelancaran untuk kedua-duanya telah dijadualkan berlangsung pada 19 Mei 2022.

Melihat perkongsian Vivo China, peranti ini dilengkapi reka bentuk yang berbeza dengan variasi Vivo S15e. Tubuh sejenis berkotak dengan sisi yang melengkung seumpama siri Redmi 11 digunakan. Kemudian, perubahan turut boleh dilihat pada susunan sistem kamera utama yang turut dipadankan dengan sokongan LED Flash dalam bentuk memanjang.

Tiada maklumat mengenai perkakasan dalaman peranti yang dikongsi. Namun begitu, S15 dikhabarkan hadir dengan cip Snapdragon 870, sementara itu S15 Pro pula mungkin dilengkapi MediaTek Dimensity 8100. Seperti biasa, penawaran penuh bakal terjawab sewaktu pelancaran rasmi kelak.

Bersama-sama dengannya, Vivo juga akan mengumumkan aksesori audio baharu menerusi Vivo TWS Air. Dalam masa sama, mereka turut akan mengemaskini pilihan warna untuk Vivo Pad dan Vivo Watch 2.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd