Kementerian Kesihatan Malaysia baru sahaja mengeluarkan kenyataan terbaru mengenai pemberian dan penerimaan suntikan penggalak kedua vaksin COVID-19 untuk rakyat berumur 60 tahun keatas, dewasa 18 tahun keatas dan juga remaja berumur 12-17 tahun.
Melalui kenyataan tersebut, pihak KKM mengatakan bahawa mereka yang berumur 60 tahun keatas tanpa sebaran penyakit ataupun komorbiditi boleh mendapatkan suntikan penggalak kedua dari 4-6 bulan selepas menerima dos penggalak pertama. Untuk golongan ini, dos tersebut boleh diambil secara sukarela tanpa perlu berunding dengan pakar perubatan.
Bagi golongan dewasa 18 tahun ke 59 tahun pula, individu-individu yang dikenalpasti mempunyai masalah kesihatan komorbiditi disarankan untuk mengambil dos penggalak kedua mereka dari 4-6 bulan selepas menerima dos penggalak mereka. Ia dinasihati untuk kumpulan ini berbincang dengan pakar perubatan terlebih dahulu sebelum mengambilnya supaya semua pihak faham mengapa dos penggalak tersebut lebih elok diambil.
Pihak KKM juga mengatakan bahawa untuk remaja 12-17 tahun yang mempunyai isu komorbiditi, mereka digalakkan untuk mengambil suntikan penggalak pertama mereka selepas menerima suntikan primer dalam tempoh 4-6 bulan selepas set pertama vaksinasi diterima. Mereka dan ibu-bapa juga dinasihatkan untuk berbincang dengan pengamal perubatan sebelum mengambilnya.
Pengambilan dos penggalak kedua vaksin COVID-19 ini boleh diambil secara sukarela dan boleh diberikan apabila ia diperlukan.