Samsung Tidak Berminat Menghasilkan Kereta Elektrik Sendiri

Diterbitkan pada Mei 17, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Apple, Sony, Xiaomi dan Huawei kesemuanya mempunyai perancangan ataupun sudahpun mengeluarkan kenderaan elektrik jenama sendiri. Kenderaan elektrik dilihat sebagai evolusi seterusnya bagi sebuah syarikat teknologi kerana pasaran telefon pintar kini semakin tepu. Samsung ialah syarikat yang belum mengumumkan mereka ingin mengikuti jejak Apple dan Xiaomi. Menurut laporan The Korea Times yang memetik dua eksekutif kanan, Samsung tidak berminat untuk menghasilkan kereta elektrik sendiri.

Sebab utama yang diberikan ialah ia tidak dilihat sebagai pelaburan yang menguntungkan. Samsung pada waktu ini telahpun menawarkan komponen yang digunakan oleh syarikat lain pada kenderaan buatan mereka. Bagi mengelakkan konflik, Samsung merasakan tiada sebab untuk mereka bersaing dengan pelanggan yang menyumbang kepada keuntungan syarikat.

Sungguhpun tidak mempunyai pelan untuk menghasilkan kereta elektrik sendiri, Samsung sudah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Hyundai untuk mengukuhkan komitmen dalam industri automotif. Hyundai misalnya telah menggunakan pek bateri dari Samsung dan Samsung telah melancarkan cip Exynos Auto khusus untuk industri automotif.

Kita mungkin tidak akan dapat menggunakan Samsung Galaxy Car tetapi teknologi mereka bakal ditemukan pada kereta lain dalam masa terdekat seperti mana skrin telefon, modem dan sensor kamera mereka digunakan pengeluar lain.

komen


© Amanz / 2022 Kami