Cari @ Amanz

Pada tahun lepas, ASUS dan Noctua telah bekerjasama untuk memperkenalkan sebuah kad grafik yang dibina khusus menggunakan kipas dan sistem penyejukan yang dibangunkan oleh Noctua, iaitu ASUS GeForce RTX 3070 Noctua Edition.

Terkini, kedua-dua syarikat tersebut dilihat bekerjasama sekali lagi untuk memperkenalkan sebuah kad grafik yang lagi berkuasa, iaitu ASUS GeForce RTX 3080 Noctua Edition, kali ini menggunakan kad grafik asas ASUS GeForce RTX 3080 dengan gabungan sistem penyejukan Noctua.

Kad grafik ini hadir dengan dua mod penggunaan, iaitu mod Gaming dengan kelajuan GPU 1785MHz, dan mod OC pada kelajuan 1815MHz. Dari segi penawaran memori, ASUS dilihat menggunakan model RTX 3080 dengan memori GDDR6X sebanyak 10GB, dan bukan model 12GB yang dikemaskini.

Kad grafik ini menggunakan dua buah kipas Noctua NF-A12x25 untuk menyejukkannya dan ASUS mengatakan bahawa kad grafik ini merupakan kad grafik yang paling senyap dan berkuasa yang dikeluarkan mereka. Sama seperti kad-kad grafik ASUS yang lain, ia hadir dengan fungsi penyejukan 0db dimana kipas tidak akan berpusing sehingga komponen GPU mencapai suhu tertentu.

Membantu penyejukan ini ialah penggunaan bongkah aluminum yang cukup tebal sekali, dimana kad grafik ini akan mengambil empat slot pengembangan PCIe, jadi sekiranya anda bercadang untuk mendapatkan kad grafik ini, nasihat kami ialah untuk memastikan bahawa rangka komputer anda boleh memuatkannya.

Kemaskini: ASUS Malaysia telah mengesahkan bahawa kad grafik ini sudah mula dijual di pasaran tempatan pada harga RM5210.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd