Siri peranti ASUS ROG Flow dilihat sebagai penawaran komputer riba gaming paling unik yang ditawarkan oleh ASUS sekarang, kerana ia bukan sahaja hadir dengan rekaan padat, tetapi juga merumahkan komponen-komponen yang sangat berkuasa.

Dengan ROG Flow X16, ASUS memperlihatkan sebuah komputer riba boleh lipat yang tampil dengan paparan skrin bersaiz besar berbanding dengan model ROG Flow X13 sebelum ini. Model ini dilengkapi dengan paparan skrin sesentuh Mini LED bersaiz 16 inci dengan resolusi QHD dengan kadar segar semula 165Hz dan mempunyai nilai kecerahan setinggi 1100 nit dan juga sokongan DisplayHDR 1000.

Menariknya, paparan Mini LED ini hadir dengan nama khususnya sendiri, iaitu ROG Nebula HDR yang menandakan bahawa ASUS telah bekerja keras untuk membangunkan panel ini untuk komputer riba ini, dan mungkin akan diperlihatkan pada model-model lain selepas ini.
Dari segi penawaran komponen pula, komputer riba ini dikuasakan oleh CPU pilihan CPU sehingga AMD Ryzen 9 6900HS dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti yang dilancarkan baru-baru ini, menjanjikan prestasi yang hebat pada permainan-permainan komputer moden.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, komputer riba ROG Flow X16 ini hadir dengan engsel yang boleh dipusing 360 darjah dan digunakan dalam pelbagai cara lain, dalam mod khemah dan tablet juga.


ROG Flow X16 ini hadir dengan sistem penyejukan baru, iaitu Frost Force Technology bersama Pulsar Heatsink dan juga penggunaan logam cecair untuk memastikan bahawa haba dapat dialirkan daripada komponen-komponen dalam komputer riba ini ke bahagian luar dengan cepat dan cekap.

Ia juga dilengkapi dengan sejumlah palam-palam I/O seperti USB 3.2 Type-C, USB 3.2 Type-A, HDMI 2.0b dan sebagainya untuk membantu dalam penghantaran data yang pantas dan juga membolehkan pengguna untuk menyambungkan komputer riba ini ke paparan kedua dengan resolusi dengan kadar segar semula tinggi tanpa masalah.

Sama seperti model-model ASUS ROG Flow sebelum ini juga, ROG Flow X16 hadir dengan sokongan untuk aksesori kad grafik luaran ROG XG Mobile yang diperkenalkan sebelum ini, yang juga hadir dengan sejumlah besar palam I/O tambahan.
Sama seperti komputer riba ASUS ROG STRIX Scar 17 SE, ASUS Malaysia dijangka akan hadir dengan pengumuman mengenai pelancaran komputer riba ini sekitar bulan Jun kelak.