Oppo Find X5 Pro 5G Dilancarkan Di Malaysia Pada Harga RM4999

Diterbitkan pada Mei 18, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Oppo Find X5 Pro kini dilancarkan secara rasminya di Malaysia. Ia merupakan sebuah peranti pintar berspesifikasi mercu yang lengkap dengan reka bentuk premium, di samping perkakasan dalaman cukup seimbang. Ini termasuklah penggunaan cip pemprosesan terkini Snapdragon 8 Gen1, cip MariSilicon X untuk pengimejan lebih baik dan bateri dengan pengecasan pantas 80W.

Bagi yang berminat, ia ditawarkan di Malaysia pada harga RM4,999. Sesi pra tempah dibuka bermula sekarang – 27 Mei 2022 dengan sejumlah hadiah menarik bernilai RM1,397 sehingga RM1,726. Ianya terdiri dengan Oppo Enco X2 (RM799), jaminan lanjutan peranti selama 1 tahun (RM399), pelindungan skrin selama 1 tahun (RM199) dan ganjaran menarik lain menerusi aplikasi MY OPPO App.

Bercakap mengenai spesifikasi, Oppo Find X5 Pro dilengkapi skrin sebesar 6.7-inci LTPO AMOLED WQHD+(3216 × 1440 piksel) dengan kadar segar semula 120Hz secara dinamik. Paparannya turut dilapisi dengan kaca Corning Gorilla Glass Victus sebagai pelindungan utama. Seterusnya, cip Snapdragon 8 Gen1 digunakan turut dipadankan dengan memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Bateri pula sebesar 5000mAh yang menyokong pengecasan 80W SUPERVOOC.

Sistem kamera digunakan pula terdiri dengan 50MP (f/1.7) (utama) + 50MP (f/2.2) (ultra-lebar) + 13MP (f/2.4) (telefoto). Kedua-dua kamera 50MP yang digunakan masih mengekalkan penggunaan sensor Sony IMX766. Cumanya, kamera pada Oppo Find X5 Pro turut dibekalkan dengan cip MariSilikon X berteknologi 6nm yang dibangunkan oleh Oppo sendiri. Kamera hadapan pula sebesar 32MP (f/2.4).

Lain-lain spesifikasi termasuklah pengimbas cap jari pad paparan, bluetooth 5.2, port sambungan USB-C, NFC dan sebagainya. Tidak ketinggalan, ia turut menggunakan tubuh berasaskan seramik bersama padanan bingkai aluminium dengan dua pilihan warna seperti Glaze Black atau Ceramic White.

komen


© Amanz / 2022 Kami