Cari @ Amanz

Siri Meja Gaming Cooler Master GD Kini Mula Dijual Di Malaysia Pada Harga Permulaan RM1199

Oleh Nazrin

Link Copied!

Cooler Master ialah jenama yang tidak asing lagi apabila bercakap mengenai aksesori, perkakasan, komponen dan juga perabot gaming. Terkini, Cooler Master Malaysia telah mula memperkenalkan siri meja gaming Cooler Master GD mereka untuk pasaran tempatan.

Model-model yang diperlihatkan termasuklah Cooler Master GD 160 ARGB, Cooler Master GD 160 dan juga Cooler Master GD120 ARGB. Siri GD 160 hadir dengan kebolehan untuk mengubahsuai ketinggian meja dan sesuai digunakan oleh mereka yang merasakan keperluan untuk berdiri apabila menggunakan komputer dari semasa ke semasa.

Bermula dengan Cooler Master GD 160 ARGB, meja gaming ini hadir dengan jumlah fungsi paling banyak. Selain daripada penggunaan dua motor untuk mengubah ketinggian meja dari 65cm ke 130cm, ia juga hadir dengan sistem pencahayaan RGB terbina, palam-palam USB untuk mengecas peranti, dan juga butang-butang tetapan yang boleh digunakan untuk menyimpan pilihan mod pencahayaan dan juga ketinggian meja yang sesuai untuk kegunaan anda.

Cooler Master GD 160 pula memperlihatkan rekaan yang sama, tetapi dengan beberapa ciri seperti RGB, pengecasan USB tidak dimuatkan padanya, tetapi mempunyai pad tetikus yang melitupi hampir keseluruhan permukaan meja. Cooler Master juga mengatakan bahawa permukaan pad ini kalis air dan mudah dibersihkan.

Bagi mereka yang tidak mempunyai ruang yang besar di rumah, dan tidak begitu mementingkan kebolehan untuk mengubahsuai ketinggian meja, Cooler Master GD 120 ARGB mungkin untuk anda. Ia hadir dengan lebar 120cm dan ketinggian 74cm dengan sistem pencahayaan RGB sama seperti yang diperlihatkan pada model GD 160 ARGB.

Cooler Master Malaysia mengatakan bahawa ketiga-tiga meja gaming ini sudahpun memasuki pasaran tempatan pada tanda harga berikut:

  • Cooler Master GD 120 ARGB – RM1399
  • Cooler Master GD 160 – RM1199
  • Cooler Master ARGB – RM3499

Komen ()