Pandang Pertama Huawei Mate Xs 2 – Kembali Kepada Fitrah Asal

Diterbitkan pada Mei 18, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Terdapat empat isu utama dengan peranti skrin boleh-lipat yang telah dipasarkan sejak 2019. Isu paling utama yang membuatkannya tidak digunakan secara meluas ialah harga jualannya yang jauh lebih mahal. Isu kedua ialah ianya terlalu tebal untuk disimpan selesa dalam kocek. Isu ketiganya pula ialah ianya juga berat berbanding peranti dengan rekaan candybar. Isu terakhir pula ialah skrin yang mempunyai alur lipatan yang terlalu ketara.

Keempat-empat isu ini kami lihat menjadi batu penghalang kepada penggunaan peranti skrin boleh-lipat pada skala lebih besar. Dengan Huawei Mate Xs 2 yang dilancarkan ke peringkat global sebentar tadi, Huawei cuba menyelesaikan isu-isu ini.

Spesifikasi Dan Rekaan

Huawei Mate Xs 2
Skrin7.8″ OLED dibuka
6.5″ OLED dilipat
2200 x 2480 pixel, 120Hz
PemprosesSnapdragon 888 4G (5nm)
Cip1 X 2.84 GHz Kryo 680 Prime
3 X 2.42 GHz Kryo 680 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 680 Silver
Cip GrafikAdreno 660
RAM12GB LPDDR5
Muatan Dalamansehingga 512 UFS 3.1
Kamera Utama50+13+8 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4, Zum Optikal 3X, Ultra sudut lebar, OIS
Kamera Swafoto10.7 f/2.2 Megapixel
Bateri4600 mAh
Pengecasan berwayar 66W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 4G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Harga JualanRM XXXX

Mate Xs 2 ialah peranti skrin boleh-lipat kelima yang dikeluarkan oleh Huawei sejak 2019. Ia muncul selepas Mate X, Mate Xs, Mate X2 dan P50 Pocket. Huawei mengambil langkah yang berani untuk kembali menggunakan rekaan Mate X dan Xs dimana skrin dilipat ke belakang apabila tidak digunakan. Pada kedudukan terbuka, skrinnya sebesar 7.8″ yang lebih besar berbanding 7.6″ yang digunakan pada Z Fold3. Skrin luarannya juga lebih besar 6.5″ berbanding 6.2″ pada Z Fold3.

Mate Xs 2 mempunyai kelebihan kerana skrin luarnya mempunyai nisbah skrin yang sama dengan sebuah peranti candbybar. Amat selesa digunakan untuk menaip dan membaca laman web tanpa skrin dibuka sepenuhnya. Dalam tangan ia juga terasa seimbang dan tidak terlalu berat.

Pada peranti ini kami hanya membuka skrin apabila ingin memainkan permua dan membaca laman web dalam mod desktop sahaja. Boleh dikatakan 85% penggunaan Mate Xs 2 adalah pada kedudukan skrin dilipat. Ini berbeza sungguh dengan pengalaman penggunaan peranti skrin boleh lipat lain yang memerlukan skrin dibuka keran skrin luar terlalu kecil ataupun terlalu tirus membuatkan proses menaip menjadi kurang selesa.

Dengan rekaan yang sama terdapat bahagian sisi yang tebal yang boleh dijadikan pemegang apabila Xs 2 pada posisi terbuka. Ia berfungsi seperti camera grip pada kamera yang memastikan peranti tidak mudah terjatuh. Dari segi kestabilan penggunaan, tidak dapat dinafikan Xs 2 ialah telefon skrin boleh-lipat skrin besar yang paling seimbang pernah kami gunakan setakat ini.

Tetapi tidak semuanya positif. Rekaan skrin melipat ke belakang ini membuatkan ia terdedah kepada kerosakan jika diletakkan terus pada permukaan meja. Kami difahamkan Huawei tidak menggunakan sebarang panel kaca boleh lipat UTG seperti yang digunakan oleh Samsung. Seperkara lagi ialah peranti tidak mempunyai sebarang kemampuan kalis air berbanding kedua-dua telefon Galaxy Z di pasaran sekarang. Bagi kami skrin yang terdedah lebih mendatangkan kerisauan.

Huawei memberikan kami kerangka khas untuk Xs 2 yang berjaya melindungi skrin yang dilipat ke belakang ini teapi rekaannya tidak menawarkan pelindungan yang optimum. Bahagian atas dan bawah masih terdedah kepada hentakan. Proses membuka kerangka untuk menyahlipat pula kompleks seperti mengubah permainan Transformers. Dalam video di atas anda boleh melihat sendiri betapa kompleksnya rekaan kerangka ini.

Tanpa kerangka sekalipun proses membuka telefon adalah lain dari yang lain. Terdapat butang nyahkunci di belakang yang perlu ditekan terlebih dahulu. Skrin akan terkeluar sedikit seperti spring sebelum dibuka secara manual oleh pengguna. Mekanisme kunci ini memastikan skrin tidak akan mudah terbuka secara tidak sengaja tetapi memperlahankan proses. Isu ini tidak kami hadapi pada Z Fold, Z Flip dan Find N.

Tri kamera utama disusun menegak dalam bonggol sisi yang besar merangkap tempat pemegang yang kami sebutkan di atas. Rekaan Mate Xs asal sekali lagi dikekalkan. Sistem lensa sudut lebar, ultra sudut lebar dan telefoto digunakan pada kamera utama sementara kamera swafoto pula hanya satu yang diletakkan pada sebuah lubang kamera.

Tiada gimik pada sistem kamera utama. Terdapat sokongan zum optikal sehingga 3X yang memadai dan tiada sistem kamera bawah skrin yang setakat ini kami rasakan tidak begitu memuaskan implementasinya. Satu ciri unik yang disertakan ialah mod Twin View yang membolehkan subjek melihat gambar mereka di viewfinder sekunder yang muncul pada skrin yang dilipat ke belakang.

Dari segi spesifikasi Mate Xs 2 adalah amat mirip dengan P50 Pocket. Dijana dengan cip Snapdragon 888 4G, memori sehingga 12GB, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 4600 mAh dengan sokongan pengecasan 66W.

Kami merasakan Mate Xs 2 dipasarkan bagi pengguna yang inginkan sebuah peranti skrin boleh-lipat yang lebih besar dari Huawei. Skrin yang lebih besar membolehkan ia digunakan seakan tablet dan baterinya juga lebih besar untuk hayat penggunaan yang lebih tahan lama.

Setakat ini di atas kertas kelebihan Mate Xs 2 berbanding Z Fold3 terletak pada skrin yang lebih besar, skrin luaran yang lebih praktikal, tidak begitu berat dan tidak begitu tebal berbanding peranti keluaran Samsung.


Penggunaan Dan Perisian

Pada peranti yang diuji sistem operasi Android dengan pelancar EMUI 12 digunakan. Menurut wakil Huawei ini adalah kerana sistem operasi HarmonyOS global untuk Mate Xs 2 masih belum dioptomasikan pada peranti ujian. Antaramuka adalah minimalis dan tidak banyak bezanya dengan peranti Huawei lain di pasaran. Perbezaan hanyalah antaramuka boleh melebar dan mengecil mengikut saiz skrin yang digunakan.

Sistem Huawei Mobile Services digunakan sepenuhnya dengan sokongan Petal Search untuk mencari aplikasi yang tidak ditawarkan di Huawei App Gallery. Bagi mereka yang sudah mendalami ekosistem Huawei sejak tiga tahun kebelakangan ini, ketiadaan GMS tidak begitu dirasakan kerana Huawei ada menawarkan aplikasi serta perkhidmatan alternatif mereka sendiri

Dalam mod skrin dibuka sepenuhnya, Huawei menyokong paparan dua aplikasi serentak dengan ianya diletakkan pada sisi kiri dan kanan skrin yang dibelah dua. Pengguna juga boleh memilih untuk mengapungkan aplikasi dalam tingkap tersendiri jika perlu. Pintasan pantas sisi untuk aplikasi kegemaran bagi melancarkan Split View lebih pantas juga disertakan sekali.

Penggunaan peranti mirip dengan Mate X dan Mate Xs dengan tiada perubahan yang mendadak dari segi ciri yang diperkenalkan. Kami cuma merasakan dari kemampuan multi tugas, perisian Samsung adalah lebih mesra pengguna. Proses menukar aplikasi juga lebih panta kerana penggunaan taskbar seakan sebuah desktop.


Kamera

Berikut ialah sampel gambar yang sempat kami ambil menggunakan Mate Xs 2 dalam tempoh yang agak pendek. Kesemua gambar diambil menggunakan mod automatik dalam aplikasi kamera.


Kesimpulan

Huawei kembali kepada rekaan asal Mate X bagi menyelesaikan isu peranti skrin boleh-lipat yang berat, tebal dan skrin yang perlu dibuka sepanjang masa sehingga teras kurang praktikal untuk kegunaan harian. Kesemua isu di atas kami rasakan berjaya diselesaikan dengan jayanya tetapi pada waktu yang sama menimbulkan beberapa isu lain seperti tiada kalis air dan skrin yang terdedah kepada kerosakan dengan lebih mudah.

Harga jualan di China pula adalah agak tinggi bermula sekitar RM8600 untuk model premium sehingga menjadikannya kurang kompetitif dengan Z Fold3 yang pada waktu ini merajai segmen dengan rekaan sebegini. Ketiadaan 5G mungkin bukan isu besar di Malaysia memandangkan pelancaran rangkaian ini pada syarikat telekomunikasi utama juga terhad. Bagi yang mencari peranti boleh-lipat yang lebih praktikal dan ringan, Huawei Mate Xs 2 adalah antara pilihan menarik.

Pro

  • Skrin boleh lipat 7.8″ yang lebih besar berbanding pesaing.
  • Skrin 120Hz.
  • Skrin luar 6.5″ yang besar dan mempunyai nisbah skrin sama seperti telefon biasa.
  • Pengecasan pantas sehingga 66W disokong.
  • Lebih nipis dan ringan berbanding peranti boleh-lipat lain.

Kontra

  • Tiada kemampuan kalis air.
  • Skrin melipat ke belakang tidak dilindungi dengan baik.
  • Snapdragon 888 4G yang sudah berusia.
  • Tiada sokongan 5G.

komen


© Amanz / 2022 Kami