Pada tahun lepas, Acer telah membuat keputusan besar untuk memperkenalkan siri komputer riba Acer Vero yang menggunakan bahan-bahan kitar semula seperti plastik lautan dalam binaan komputer riba, dan model pertama yang diperlihatkan dalam siri ini ialah Acer Aspire Vero.

Sewaktu acara pengumuman Acer Global Press Conference, Acer telah memperkenalkan komputer terkini yang akan memasuki siri komputer riba mesra alam ini, dan ia adalah Acer Veriton Vero, sebuah komputer desktop AIO yang baru sahaja diumumkan.

Spesifikasi komputer ini termasuklah paparan skrin IPS bersaiz 24 inci dengan bingkai nipis di keempat-empat sisi dengan nisbah 88 peratus skrin-ke-bingkai. Ia dikuasakan oleh pilihan CPU Intel generasi ke-12 Alder Lake dengan pilihan sehingga Intel Core i9, pilihan memori DDR4 sehingga 64GB dan storan SSD PCIe sebanyak 2TB. Dari segi penawaran grafik pula, komputer Acer Veriton Vero ini dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce MX550 yang berguna untuk tontonan video beresolusi tinggi.
Sama seperti komputer riba Acer Aspire Vero sebelum ini, 30 peratus daripada binaan komputer Acer Veriton Vero ini diperbuat daripada plastik kitar semula PCR (Post-Consumer Recyclable). Bukan itu sahaja, aksesori-aksesori papan kekunci dan tetikus komputer ini juga hadir dengan rangka yang diperbuat daripada plastik PCR ini.

Malah, kotak bungkusan komputer ini boleh dikitar-semula sepenuhnya, dan sama seperti siri komputer riba Vero sebelum ini, rangka komputer ini juga boleh dibuka untuk tujuan penaiktarafan ataupun pembaikan secara kendiri seperti untuk modul memori dan juga storan.
Dikuasakan oleh CPU Intel Alder Lake bermakna bahawa Acer Veriton Vero ini juga hadir dengan ciri-ciri yang diperlihatkan pada pelbagai komputer moden seperti sokongan WiFi 6E terbina, dan juga kamera webcam yang menyokong fungsi log masuk Windows Hello dan juga palam-palam USB 3.2 Gen 2×2 dengan kadar penghantaran data sepantas 20Gbps.
Komputer Acer Veriton Vero ini dikatakan akan hadir pada pasaran-pasaran tertentu bermula bulan Oktober ini, dengan tanda harga awal dilihat bermula dari $799 (~RM3500).