Cari @ Amanz

Selepas hampir setengah tahun kita melihat cip Snapdragon 8 Gen 1 menjana beberapa peranti mercu, tidak dinafikan yang cip ini adalah cip paling berkuasa untuk peranti Android. Masalah pemanasan yang berlaku dengan Snapdragon 888 tidak lagi berlaku ke majoriti peranti, tetapi hanya satu atau dua model sahaja.

Seperti yang kita tahu, Qualcomm akan hadir dengan cip baharu pula iaitu Snapdragon 8 Gen 1+ yang dibina oleh TSMC. Cip ini dijangka akan dilancarkan esok, 20 Mei dan mungkin bersama-sama sekali dengan Snapdragon 7 Gen 1.

Peniris terkenal Digital Chat Station baru-baru ini mendedahkan yang Snapdragon 8 Gen 1+ akan kekal dengan binaan 4nm, tetapi kemampuan prestasi meningkat 10% lebih berkuasa. Cip ini juga dikatakan 30% jimat penggunaan kuasa dan 30% lebih efisien.

Konfigurasi cip ini adalah 1x 3.2GHz X2 + 3x 2.75GHz A710 + 4x 2.0GHz A51 dan menggunakan cip GPU Adreno 730.

Antara peranti yang dijangka menggunakan cip ini adalah Xiaomi 12 Ultra dan beberapa peranti gaming. Sama-sama kita nantikan pengumuman esok dan lihat apa yang Qualcomm akan dedahkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd