Siri komputer riba Acer Swift boleh dikatakan diantara komputer-komputer riba nipis dan ringan yang cukup popular di pasaran. Terkini, di acara Acer Global Press Conference yang baru sahaja berlangsung, mereka telah memperkenalkan model Acer Swift pertama dengan paparan skrin OLED, iaitu Acer Swift 3 OLED.

Bermula dengan paparan skrin, Acer Swift 3 OLED dilengkapi dengan paparan OLED bersaiz 14 inci dengan resolusi WQXGA+(2.8k) dengan nisbah paparan-ke-bingkai 92 peratus dan mempunyai nilai kecerahan 500 nit yang memberikannya juga sokongan untuk teknologi paparan DisplayHDR True Black 500.
Komputer riba ini dikuasakan oleh CPU Intel Alder Lake-H dengan penawaran memori DDR5 sebanyak 16GB dan juga storan SSD PCIe4. dari segi GPU pula, Acer Swift 3 OLED dilihat menggunakan cip pemprosesan grafik Intel Iris Xe yang terbina didalam komponen CPU.

Fokus acara GPC tahun ini dilihat lebih kepada penggunaan bahan kitar semula, dan dengan Acer Swift 3 OLED, komputer riba ini hadir dengan pad sesentuh OceanGlass yang dibangunkan dengan bahan kitar semula yang dikumpul dari laut.
Dengan penggunaan cip pemprosesan Intel Alder Lake, Acer Swift 3 OLED juga dilihat hadir dengan sejumlah teknologi serba baru seperti teknologi penghantaran data pantas Thunderbolt 4, sokongan WiFi 6E yang pantas dan kamera webcam MIPI yang menggunakan Acer Temporal Noise Reduction (TNR) yang meningkatkan kualiti video penstriman.

Dari segi jangka-hayat bateri pula, Acer mengatakan bahawa Swift 3 OLED ini boleh digunakan selama 10 jam secara terus dengan satu pengecasan penuh.
Acer mengatakan bahawa Acer Swift 3 OLED ini akan ditawarkan di pasaran-pasaran terpilih seperti Amerika dan EMEA (Eropah, Timur Tengah, Asia) pada bulan Julai kelak.