Carian
Huawei Mate Xs 2 Dilancarkan Di Malaysia Pada Harga RM7999
May 19, 2022 Amy Maizuraa

Huawei Mate Xs 2 dilancarkan di peringkat global malam tadi. Tidak sampai sehari peranti skrin boleh-lipat ini dilancarkan pula di Malaysia hari ini pada harga RM7,999 sebuah. Dengan Xs 2, Huawei kembali dengan rekaan skrin yang dilipat ke belakang apabila ingin disimpan sama seperti Maye X dan Mate Xs sebelum ini.

Dari segi spesifikasi, Mate Xs 2 dilengkapi skrin 7.8″ OLED 120Hz pada kedudukan terbuka dan 6.5″ apabila dilipat. Ia dipadankan dengan cip Snapdragon 888 4G, memori 8GB RAM, storan 512GB dan bateri 4800 mAh yang menyokong pengecasan 66W. Skrin Mate Xs 2 turut hadir dengan sokongan stylus.

Kamera utama 50MP sudut lebar dipadankan dengan sensor 13MP ultra sudut lebar dan 8MP telefoto optikal sehingga 3X. Kamera swafoto pula sebesar 10.7MP yang diletakkan pada lubang skrin. Peranti ini mempunyai rekaan yang lebih ringan, dan nipis berbanding peranti skrin boleh-lipat lain di pasaran.

Dari segi perisian ia masih menggunakan EMUI 12 dengan ia akan dikemaskini ke HarmonyOS dalam masa terdekat. Sepasang speaker stereo turut diberikan dengan kekisi audio diletakkan pada bahagian sisi.

Dengan rekaan Falcon Wing yang ditambahbaik, skrin tidak menunjukkan sebarang kesan lipatan yang ketara. Namun begitu Mate Xs 2 tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air.

Pratempahan untuk Huawei Mate Xs 2 dibuka di Malaysia bermula 3 Jun hingga 23 Jun hadapan. Pelanggan yang melakukan pratempahan akan menerima jam tangan Huawei Watch GT2 Pro dan pelbagai lagi bernilai RM1400 secara percuma.

Komen