Huawei P50 dilancarkan di China pada Julai 2021. Selepas hampir setahun ia akhirnya ditawarkan di Malaysia dan empat bulan selepas Huawei P50 Pro yang mula dijual pada Januari yang lalu. Tiada perubahan pada spesifikasi telah dilakukan pada P50 untuk pasaran tempatan.


Ia masih dilengkapi skrin 6.5″ AMOLED dengan resolusi QHD+ dan kadar segar semula 90Hz. Skrin adalah rata dengan sebuah lubang kamera pada bahagian tengah. Peranti dijana cip Snapdragon 888 4G, dipadankan dengan memori 8GB RAM, storan sehingga 256GB dan bateri sebesar 4100 mAh. Bateri boleh dicas semula secara berwayar dengan pengecas 66W tanpa pengecasan nirwayar atau berbalik.

Kamera utama sebesar 50MP f/1.8, 12MP telefoto f/3.4 dengan OIS dan 13MP ultra sudut lebar f/2.2. Sistem pemfokusan juga adalah menggunakan laser. Pada bahagian hadapan pula kamera 13MP digunakan sekali lagi. Sistem zum yang disertakan memberikan zum optikal sehingga 5X dan zum digital sehingga 50X sahaja.

Peranti mempunyai kemampuan kalis air IP68 bersama dengan sistem audio stereo. Sistem operasi yang digunakan pula ialah EMUI 12. Seperti Mate Xs 2, P50 Pro dan P50 Pocket sebelum ini, peranti hanya menyokong rangkaian 4G sahaja pada waktu ini. Huawei P50 dijual pada harga RM2999 di Malaysia.