Sewaktu Acer mengadakan acara Global Press Conference, mereka juga telah memperlihatkan sebuah komputer riba gaming baru, khususnya kemaskini yang diperlihatkan pada salah satu komputer riba gaming berkuasa mereka, iaitu Predator Helios 300 SpatialLabs Edition.
Ini bukanlah kali pertama Acer bekerjasama dengan SpatialLabs untuk membangunkan sebuah komputer riba. Pada tahun lepas, sebuah komputer produktiviti kreatif Acer ConceptD dibangunkan teknologi SpatialLabs untuk membolehkan pengguna melihat model objek stereoskopik 3D secara terus daripada skrin tanpa memerlukan sebarang aksesori tambahan.

Begitulah dengan Predator Helios 300 SpatialLabs Edition, yang mana ia hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 15.6 inci pada resolusi 4K dengan lensa cecair kristal terbina didalamnya, membolehkan pengguna untuk melihat kandungan secara 2D dan 3D dengan cepat dan mudah.
Predator Helios 300 SpatialLabs Edition ini juga dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core i9 generasi ke-12 Alder Lake, memori DDR5 sebanyak 32GB dan juga storan SSD PCIe4 yang hadir dengan jumlah storan besar dan pantas.

Untuk menggerakkan permainan-permainan dalam mod 2D dan 3D pada resolusi yang tinggi, komputer riba ini dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 yang boleh menggerakkan permainan-permainan komputer moden pada resolusi tinggi tanpa masalah.
Menyejukkan komputer riba ini ialah penggunaan sistemm penyejukan dwi-kipas menggunakan kipas AeroBlade 3D generasi ke-5 untuk mengalirkan haba dari komponen-komponen dalaman ke bahagian luar dengan cepat dan cekap.

Ia juga dilihat menyokong ciri-ciri seperti WiFi 6E, Thunderbolt 4 dan palam HDMI 2.1 untuk sokongan input dan output yang terkini di pasaran.
Bercakap mengenai fungsi stereoskopik 3D, Acer mengatakan bahawa apabila komputer riba ini dilancarkan kelak, sekitar 50 permainan komputer akan menyokong fungsi tersebut kelak.
Bercakap mengenai pelancaran, komputer riba Predator Helios 300 ini akan ditawarkan di pasaran-pasaran tertentu pada bulan Julai dan suku keempat 2022 kelak pada harga permulaan $3399.99 (~RM15,000).