Jenama BenQ tidak asing dengan projektor mereka. Projektor terkini mereka adalah projektor nirwayar BenQ GV30 yang turut mempunyai pembesar suara Bluetooth 2.1. Bukan itu sahaja, ia juga menjalankan Android TV untuk akses mudah ke gudang aplikasi Play Store dan pelbagai platform penstriman.

BenQ GV30 ini menggunakan sistem pancaran dengan teknologi CinemaColor yang boleh memancar pada tahap kecerahan 300 ANSI Lumens pada resolusi 720p HD. Ia juga boleh memancar sehingga 100-inci saiz skrin dan LED yang digunakan boleh bertahan sehingga 30,000 jam. Ia turut hadir dengan mod Cinema dan Day Time untuk kualiti pancaran mengikut situasi yang sesuai. Ia juga hadir dengan rekaan bulat, agar pancaran boleh dilakukan pada pelbagai arah seperti di siling.

Paling menarik adalah, projektor ini turut boleh berfungsi sebagai speaker nirwayar Bluetooth dengan saluran audio 2.1 daripada beberapa pemacu audio berbeza untuk mengasingkan bahagian Highs dan Mids. Audio projektor ini ditala oleh pasukan audio BenQ sendiri treVolo. Pelbagai mod audio turut diberikan untuk pengguna tetapkan mengikut jenis kandungan. BenQ menjanjikan kualiti audio projektor mereka akan memberikan pengalaman menonton penuh bass dan seakan tonton di pawagam.

Sokongan USB-A, HDMI dan USB-C turut disediakan jika ingin terus main kandungan daripada pemacu USB atau komputer. Port USB-C projektor ini turut boleh digunakan sebagai DisplatPort dan tujuan mengecas. Peranti iPhone juga boleh digunakan jika ingin siarkan kandungan daripada telefon ke projektor.

Projektor ini dijual di Malaysia pada harga RM2,688. Tetapi jika anda lakukan pra-tempahan, ia boleh didapati pada harga RM2,499. Tidak banyak projektor nirwayar dengan Android TV berada di pasaran, jika anda mahukan pakej lengkap – ini mungkin pilihan terbaik yang ada.