Realme kini dalam persediaan untuk pengenalan tablet baharu dikenali sebagai Realme Pad X. Ia bakal dilancarkan di China pada 26 Mei 2022 dan rekaannya juga telah diperlihatkan dalam perkongsian terkini di Weibo.
Ia menunjukkan Realme Pad X mempunyai tubuh berkotak dan skrin yang rata. Pada masa sama, ia turut dipadankan dengan saiz bezel yang seimbang pada keempat-empat sisi. Panel belakang pula mempunyai kemasan berwarna hijau bersama modul kamera berbentuk segi empat yang memuatkan lensa tunggal. Tablet ini turut memperlihatkan penambahbaikan cukup ketara apabila terdapat sokongan untuk stylus.
Realme Pad X dikhabarkan hadir dalam dua pilihan model. Kedua-duanya juga akan mempunyai perkakasan dalaman yang berbeza. Di mana, model pertama akan dimuatkan dengan Snapdragon 870, skrin beresolusi 2.5K dan kadar segar semula 120Hz. Sementara itu, model berikutnya pula mungkin disertakan dengan spesifikasi lebih rendah.