Ulasan Sony LinkBuds WF-L900 – Gimik Yang Unik, Tetapi Untuk Siapa?

Diterbitkan pada July 15, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sony baru-baru ini telah melancarkan siri fon telinga baru yang dinamakan Sony LinkBuds, dimana model pertamanya ialah Sony LinkBuds WF-L900 yang bukan sahaja hadir dengan rekaan yang padat, tetapi juga sangat unik, dimana mereka menggunakan pemandu audio yang mempunyai rekabentuk yang sangat unik, disamping beberapa fungsi baru yang cukup menarik.

Rekaan Dan Spesifikasi

Sony LinkBuds WF-L900
JenisTWS rekaan terbuka
Pemandu12mm
Mikrofon2 mikrofon
Bateri5.5 jam/ 17.5 jam dengan pod
Port pengecasUSB-C
PengecasanBerwayar USB-C
CODECAAC, SBC
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaYa
Pad sesentuhYa
Kemampuan kalis airIPX4
BluetoothBluetooth 5.2
Jeda audio bila ditanggalkanYa
Pengimbas nadiTiada
Harga Jualan RM 849

Seperti yang dikatakan, Sony LinkBuds WF-L900 ini hadir dengann rekaan yang cukup unik sekali, dimana mereka menggunakan pemandu audio yang berbentuk donut, dimana rekaan lubang tersebut boleh diperlihatkan secara fizikal melalui rekaan fon telinga ini juga.

Seperti yang anda dapat lihat pada gambar-gambar yang diambil, fon telinga ini hadir dengan dua bahagian berbentuk bulat yang berbeza. Rangka berbentuk donut dinamakan Open Ring Design yang merumahkan pemandu audio Ring Driver Unit, yang mana Sony mengatakan ia membantu dalam membolehkan pengguna untuk bukan sahaja mendengar bunyi persekitaran dengan baik, tetapi juga meningkatkan sedikit sound stage untuk kualiti audio yang lebih baik.

Bahagian diatas pemandu audio pula ialah dimana cip kecerdasan buatan fon telinga ini dirumahkan. Ia bertanggungjawab untuk fungsi-fungsi seperti Speak To Chat, kawalan pembantu digital seperti Ok Google dan Alexa dan juga kebolehan fon telinga ini untuk mengawal kelantangan audio berdasarkan lokasi anda.

Rangka fon telinga ini. bersama-sama dengan rangka pengecasannya diperbuat daripada bahan-bahan kitar semula, dan fon telinga Sony LinkBuds ini tada bezanya. Sama seperti fon telinga Sony WF-1000XM4 sebelum ini, kotak fon telinga ini diperbuat 100 peratus daripada bahan kitar semula dan langsung tidak menggunakan sebarang bahan plastik.

Bercakap mengenai rangka pengecasan, fon telinga LinkBuds WF-L900 ini juga hadir dengan rekaan yang paling padat setakat ini dengan saiz yang lebih kecil walaupun dibandingkan dengan fon telinga TWS WF-1000XM4. Lebar rangka LinkBuds dilihat hanya separuh daripada WF-1000XM4, dan dengan ketinggian lebih rendah juga.

Malah, rangka fon telinga dan pod pengecasan Sony LinkBuds ini diperbuat daripada plastik industri automotif yang dikitar semula membantu mengurangkan penggunaan plastik baru (virgin plastic) yang dilihat semakin popular kebelakangan ini dengan sejumlah syarikat-syarikat teknologi yang lain.

Sebagai fon telinga TWS dalam kelas premium, fon telinga ini juga hadir dengan ciri kalis kelembapan IP4X yang membolehkan anda menggunakan fon telinga ini untuk tujuan senaman ringan seperti berjoging ataupun berjalan-jalan di luar.

Dikala semua jenama teknologi yang memasuki arena audio ini memperlihatkan fungsi pembatalan hingar aktif (Active Noise Cancelling) sebagai satu ciri yang wajib, Sony LinkBuds WF-L900 ini tidak mempunyai fungsi tersebut kerana rekaan uniknya. Adakah ini merupakan sebuah kelebihan ataupun kekurangan kepada fon telinga ini? Kami akan menerangkan sedikit lebih lanjut mengenainya di perenggan-perenggan dibawah.

Pengalaman Pengguna

Jika anda biasa menggunakan fon telinga ataupun fon kepala Sony sebelum ini, anda sudah pastinya biasa dengan cara untuk menambatkan aksesori mereka kepada peranti-peranti anda. Untuk pengguna Android, fon telinga ini hadir dengan fungsi Google Fast Pair, manakala untuk peranti iOS, anda boleh menggunakan aplikasi Sony Headphone.

Apa yang mungkin anda perlu biasakan ialah cara memakai fon telinga Sony LinkBuds WF-L900 ini untuk kali pertama. Ia boleh dimuatkan kedalam telinga dengan mudah, tetapi bahagian cangkuk getah tersebut mungkin akan perlu dibiasakan untuk mendapatkan muat yang memberikan pengalaman pendengaran audio yang terbaik.

Sony juga memberi pengguna beberapa cangkuk getah dengan saiz berbeza untuk mereka yang mempunyai lubang telinga lebih kecil ataupun lebih besar, bergantung kepada keperluan anda. ini adalah untuk memastikan bahawa fon telinga ini boleh mencangkuk kepada bahagian dalam telinga anda dengan selesa, dan tidak bergerak begitu banyak apabila anda keluar berjalan-jalan dengan fon telinga ini.

Walaupun fon telinga Sony LinkBuds ini tidak mempunyai fungsi pembatalan bunyi hingar terbina, ia masih lagi hadir dengan ciri-ciri seperti Speak-to-Chat dan sokongan pintasan yang boleh diubahsuai daripada aplikasi Sony Headphones. Cuma kali ini, pintasan pada fon telinga ini sudahpun ditetapkan, dan pilihan suaiannya dilihat agak terhad.

Satu aspek yang saya benar-benar suka mengenai fon telinga ini ialah saiznya yang sangat padat, malah saya boleh katakan bahawa Sony LinkBuds ini hadir dengan saiz yang sangat padat, hampir sama seperti Apple iPods.

Walaupun begitu, dengan saiz yang kecil ini, salah satu kekurangannya diperlihatkan daripada jangka-hayat bateri. Sony mengatakan bahawa dengan pengecasan penuh, fon tellinga ini boleh digunakan selama 5.5 jam, dan bersama dengan rangka pengecasannya, ia tampil dengan jangkahayat bateri penuh selama 17.5 jam.

Mengecas fon telinga ini dengan rangka pengecasannya juga tidak mengambil begitu banyak masa. Fon telinga dilihat memerlukan 1.5 jam untuk dicas dari kosong ke penuh, manakala rangka pengecasannya juga dilihat memerlukan masa yang sama, yang mana bateri Sony LinkBuds ini akan memerlukan tiga jam untuk dicas sepenuhnya dari kosong ke penuh.

Kualiti Audio

Produk audio keluaran Sony secara lazimnya tampil dengan tahap kualiti yang agak baik, dan Sony LinkBuds ini juga boleh saya katakan mempunyai mutu audio yang memuaskan untuk sebuah fon telinga dengan rekaan seunik ini. Tetapi dengan mengatakan demikian, ia juga mempunyai beberapa isu yang sangat ketara apabila digunakan dengan cara yang tertentu.

Sebelum ini saya ada mengatakan bahawa fon telinga ini perlu dimuatkan dengan baik untuk pemakaian yang selesa. Satu lagi sebab mengapa ini adalah penting ialah keselesaan muatan ini akan memberi kesan kepada kualiti audio yang anda akan dapat dengari. Anda perlu membiasakan diri dengan melakukan pelarasan kecil ini setiap kali anda memasang fon telinga tersebut untuk mendapatkan pengalaman audio terbaik.

Pada dasarnya, Sony LinkBuds ini hadir dengan kualiti audio yang cukup memuaskan. Rekaan terbukanya membolehkan pengguna untuk menikmati pelbagai genre lagu, tidak kira rock, balada, instrumental, rakaman studio mahupun lagu-lagu yang dirakam secara langsung.

Apabila anda mendengar lagu dengan tahap treble dan juga nota frekuensi tinggi yang banyak, anda boleh mendengar nota-nota ini dengan jelas tanpa perlu risau mengenai isu bunyi yang bingit. Jika anda lebih gemar mendengar lagu-lagu dengan lebih banyak nota bass, pada tetapan asal, bunyi bass tidak begitu jelas, tetapi ia boleh diubahsuai melalui aplikasi Headphones untuk meningkatkan tahap bass.

Mendengari bahagian vokal fon telinga ini juga, bagi saya lirik-lirik yang diperkatakan boleh saya katakan sedikit tenggelam mungkin kerana keterbukaan fon telinga ini membuatkan pendengaran audio vokal tidak begitu menyerlah. Sama seperti isu bass, anda boleh meningkatkan tahap suara ini melalui tetapan dalam aplikasi sama.

Masalah terbesar fon telinga TWS Sony LinkBuds ini hadir apabila anda menggunakan fon telinga ini di luar. Semua butiran-butiran audio yang saya cakapkan sebelum ini semuanya boleh dicampak keluar tingkap kerana bunyi hingar persekitaran akan menyebabkan kualiti audio fon telinga ini merudum kerana rekaan terbukanya.

Anda boleh cuba untuk meningkatkan kelantangan audio fon telinga ini, tetapi ia akan menyakitkan telinga anda, dan anda masih tidak akan mendapat fideliti yang diingini. Ini merupakan masalah terbesar fon telinga ini kerana fon telinga TWS secara lazimnya digunakan untuk tujuan pergerakan ulang-alik dan mahu menghalang bunyi hingar.

Penutup

Sony LinkBuds WF-900L boleh dilihat sebagai sebuah eksperimen daripada Sony tentang bagaimanakah rekabentuk-rekabentuk yang lebih unik seperti ini boleh memberikan pengalaman pemakaian fon telinga dan juga kualiti audio yang berbeza,

Ia sememangnya hadir dengan rekaan dan fungsi lebih unik berbanding dengan pelbagai fon telinga TWS yang ada di pasaran hari ini, tetapi pada harga permintaan RM849, ia sangat sukar untuk mengesyorkan fon telinga ini kepada orang ramai, khususnya apabila anda boleh membeli fon-fon telinga TWS lain yang hadir dengan lebih banyak fungsi dan kualiti audio yang baik pada harga yang sama ataupun lebih murah.

Fon-fon telinga keluaran jenama-jenama lain seperti Oppo, Xiaomi, Apple dilihat tampil dengan harga yang sama ataupun lebih murah, dan tampil dengan lebih banyak fungsi-fungsi yang lebih berguna dan kualiti audio yang lebih kurang sama dengan fon telinga LinkBuds ini.

Pro:

  • Rekaan padat
  • Ciri-ciri unik
  • Muatan dalam telinga yang selesa
  • Penggunaan bahan kitar semula
  • Kualiti audio yang menarik didalam keadaan tertutup

Kontra:

  • Harga
  • Bateri yang tidak tahan begitu lama
  • Kualiti audio merudum apabila digunakan di luar bilik atau rumah

komen


© Amanz / 2022 Kami