Wakil Starlink Akan Ke Malaysia Minggu Depan Untuk Berbincang Mengenai Pengenalan Perkhidmatan Internet Satelit Mereka

Diterbitkan pada Mei 20, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada minggu lepas, kami telah melaporkan bahawa Starlink mengumumkan sokongan rasmi di 32 buah negara dimana Malaysia dijangka akan dapat menikmati sambungan internet satelit tersebut menjelang 2023.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Azmin Ali kemudian mengatakan bahawa beliau mengalu-alukan kedatangan Starlink ke pasaran Malaysia, mengatakan bahawa perkhidmatan tersebut boleh dimanfaatkan di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman yang mana ia sukar untuk menarik kabel gentian optik ataupun untuk membangunkan pencawang telekomunikasi.

Terkini, beliau menerangkan dengan lebih lanjut dan mengatakan bahawa wakil-wakil dari Starlink akan tiba ke Malaysia pada minggu hadapan untuk berbincang lebih lanjut mengenai polisi-polisi memperkenalkan perkhidmatan internet satelit tersebut di negara ini.

Starlink dilaporkan akan bertemu dengan MIDA untuk berbincang lebih lanjut bagaimana Starlink boleh menawarkan perkhidmatan internet mereka disini, yang seperti dikatakan sebelum ini, mungkin akan diperkenalkan pada tahun 2023 kelak.

Dalam pada itu, ia juga telah dilaporkan bahawa sebuah syarikat di Johor dilihat merupakan salah satu entiti mustahak dalam membangunkan komponen-komponen penting untuk satelit-satelit Starlink yang sudahpun dilancarkan di angkasa.

Mengikut pakej yang dipaparkan, Starlink menawarkan akses internet sehingga 500Mbps, tetapi pada harga yang sangat tinggi, iaitu RM2100 sebulan.

komen


© Amanz / 2022 Kami