Netflix adalah platform penstriman yang sesuai untuk semua golongan pengguna. Bagi yang tidak tahu, Netflix adalah antara yang menyokong ciri untuk pengguna kurang upaya menikmati kandungan dalam platform mereka.
Jika anda perasan semasa ingin memilih sari kata dan bahasa, akan ada pilihan deskripsi audio iaitu ciri yang menerangkan apa yang sedang berlaku dalam filem atau siri TV melalui audio. Ciri kedua adalah sari kata CC (closed caption) atau kapsyen tertutup, di mana sari kata turut akan menjelaskan apa yang berlaku melalui teks.
Netflix terkini menyatakan mereka akan terus memfokuskan kepada ciri ketercapaian ini. Mereka akan meningkatkan lagi ciri ini dengan memaparkan lencana AD (audiod description) pada kandungan mereka. Selain itu, mereka turut akan menambah lebih banyak bahasa berbeza untuk sari kata dan alih suara.
Tambahan mereka lagi adalah, di platform mereka untuk siri TV Lucifer sahaja ada 500000 jam pengguna yang menggunakan ciri AD. Daripada kesemua jumlah pengguna yang ada, 40% kerap menggunakan sari kata.
Netflix kini sudah mempunyai lebih 11000 jam kandungan AD daripada lebih 30 bahasa berbeza. Netflix lebih mudah menambah ciri ketercapaian pengguna yang pekak dan bisu pada kandungan asli, sementara kandungan lain masih lagi dalam proses.
Kelak akan lebih mudah untuk pengguna kurang upaya ini mencari kandungan yang menyokong dan menikmati kandungan asli Netflix, dengan hanya mencari lencana AD yang terpapar.