Aplikasi pada peranti Android menggunakan format fail APK dan juga AAB. Fail ini kemudiannya diterbit dalam gedung aplikasi untuk membenarkan pengguna muat turun dan pasang. Bagi aplikasi yang sedia terpasang dalam peranti, fail APK ini masih boleh diperoleh dengan menggunakan aplikasi perkongsian fail kerana ia hanya tersembunyi dalam sistem.
Dalam APK ia mempunyai pelbagai kod-kod untuk memastikan aplikasi berjalan dengan lancar. Untuk pengeluar peranti ada aplikasi yang unik kerana kod yang mereka gunakan adalah eksklusif binaan mereka dan hanya boleh dijalankan pada peranti mereka sahaja.

Jurutera Xiaomi baru-baru ini telah mencadangkan kepada Google untuk menyertakan kod dalam AOSP, agar menghalang pengguna daripada mengambil atau mengekstrak fail APK daripada peranti. Ini kerana ada fail APK mempunyai sumber kod peribadi. Dengan menghalang fail APK ini diekstrak, ia tidak boleh dikongsi atau membolehkan pengguna mengubahsuai aplikasi.
Namun cadangan Xiaomi ini ditolak oleh Google, kerana fail APK tidak dikategorikan sebagai fail yang peribadi atau fail rahsia. Tambahan wakil Google, tiada sesiapa yang inginkan perkara ini dilakukan. Jika ia diimplementasikan juga, tiada jaminan dari Google yang fail APK ini akan kekal selamat dan peribadi.