
Barisan peranti di bawah siri Oppo Find X sedia terkenal dengan penawaran berspesifikasi mercu yang menarik. Ia bukan sekadar memberi fokus kepada aspek rekaan, malahan perkakasan dalaman turut menerima penambah-baikan bagi mencorakkan gaya hidup penungguan yang unik. Bercakap lebih lanjut mengenainya, Oppo Find X5 Pro telah diperkenalkan di Malaysia dengan rekaan yang premium. Di samping, peningkatan untuk sistem pengimejan.
Ini termasuklah penggunaan NPU pengimejan khusus, MariSilicon X yang dikhabarkan mampu menghasilkan gambar dan video malam dengan cukup baik. Perkakasan dalaman turut diseimbangkan dengan elemen malar hijau menerusi penggunaan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen1 membuatkannya berkuasa untuk bersaing dengan beberapa peranti setara. Bagi melihat lebih lanjut mengenainya, ini ialah ulasan lengkap kami untuk Oppo Find X5 Pro.
Spesifikasi Ringkas
Telefon Pintar | Oppo Find X5 Pro |
Skrin | 6.7″ AMOLED, WQHD+, 120Hz, HDR10+ |
Pemproses | Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) 1x 3.00 GHz Cortex-X2 3x 2.50 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Adreno 730 |
RAM | 12GB LPDRR5 |
Muatan Dalaman | 256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | Kamera Utama 50MP, f/1.9 (utama), OIS 50MP, f/2.2 (ultra-lebar) 13MP, f/2.4 (telefoto) |
Kamera Swafoto | 32-Megapixel |
Bateri | 5000mAh Pengecasan Berwayar 80W Pengecasan Nirwayar 50W |
SIM/Telefoni | SIM Nano + SIM Nano |
NFC | Ada |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari sisi Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM4999 |
Bermula dengan rekaan, skrin 6.7-inci digunakan pada peranti ini adalah sama besarnya dengan model sebelum ini. Kemudian, tiada perubahan ketara yang turut dilakukan pada panel hadapan peranti, di mana penggunaan skrin dwi-lengkung pada bahagian sisi dikekalkan. Ini bagi membolehkan peranti seakan mempunyai binaan bezel yang kecil. Sejujurnya, ia nampak bergaya, namun boleh disifatkan sebagai kurang praktikal. Terutamanya apabila peranti pintar ini digunakan untuk menonton kandungan video dengan paparan skrin penuh. Masalah skrin melimpah ke bahagian sisi akan berlaku, sekaligus mengakibatkan timbulnya rasa kurang selesa buat sesetengah pihak.

Seterusnya, ia turut menyokong kadar segar semula 120Hz secara dinamik untuk penjimatan bateri. Ia akan disesuaikan secara automatik mengikut kandungan semasa. Sebagai pilihan, anda juga boleh menukarnya kepada 60Hz secara statik menerusi tetapan. Penggunaan panel sejenis AMOLED juga menjadikan ia adalah skrin yang benar-benar cantik. Olahan warna yang baik dan cukup bermaya ternyata menimbulkan rasa yang memuaskan terutamanya digunakan untuk menonton kandungan video. Penggunaan di luar bangunan juga tidak mendatangkan isu melampau, malahan kandungan pada skrin boleh dibaca dengan baik sekali.

Oppo Find X5 Pro menggunakan tubuh berasaskan seramik yang cantik. Menurut Oppo, bahan seramik yang digunakan adalah dua kali lebih kuat berbanding kaca konvensional. Pada masa sama, panel belakangnya juga mempunyai kebolehan mengawal isu haba yang baik bagi membolehkannya digunakan tanpa masalah.
Terdapat dua pilihan warna yang disediakan seperti Glaze Black dan Ceramic White yang mana kedua-duanya cukup elegan untuk dimiliki. Binaan kamera belakangnya pula masih mengekalkan rekaan seumpama sebuah Find X3 Pro tetapi sistem tri-kamera pula digunakan untuk kali ini. Ia kelihatan menarik kerana bonggol kamera tidak terlalu tinggi sepertimana yang terdapat pada sejumlah peranti di pasaran hari ini.

Sisi kanan menempatkan butang kuasa, sementara itu sisi kiri pula terdapatnya butang laras suara. Seterusnya, peranti turut menggunakan port sambungan USB-C yang boleh ditemui pada sisi bawah bersama pembesar suara dan lubang untuk mikrofon.
Untuk makluman, Oppo Find X5 Pro tidak menyertakan bicu audio 3.5mm sama seperti mana yang dilakukan oleh Oppo pada model terdahulu. Lain-lain spesifikasi yang menyokong termasuklah pengimbas cap jari terbina pada skrin dengan prestasi yang cukup pantas. Kemudian, ia juga disertakan dengan penarafan kalis air IP68 sebagai pelindungan tambahan.
Prestasi & Sistem Operasi
Seterusnya, Oppo Find X5 Pro menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 1 dengan memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Ini adalah gabungan yang cukup baik untuk sebuah peranti mercu, sekaligus turut mampu memenuhi keperluan kebanyakan pengguna hari ini. Tiada komen negatif yang boleh diberikan, cuma perlu kami katakan Oppo Find X5 Pro tidak menyokong slot tambahan menggunakan microSD. Dalam ujian Geekbench, peranti mencatatkan kutipan markah sebanyak 962/2692 mata.
Bagaimana pula penggunaannya di dalam dunia nyata? Seperti yang kami katakan, ini adalah sebuah peranti mercu. Perlu kami akui, tiada masalah melampau yang boleh diberikan. Ia menawarkan tatalan amat lancar terutamanya apabila mod skrin 120Hz diaktifkan dan banyak aplikasi boleh dilancarkan secara serentak kerana sokongan RAM yang mencukupi. Turut melengkapi peranti ini adalah ciri RAM Extension mencapai 7GB RAM yang menjadikan kapasiti memori boleh mencapai 19GB RAM secara keseluruhan. Isu panas masih wujud untuk sesetengah keadaan tetapi ia tidaklah sehingga menimbulkan rasa kurang selesa seperti yang dialami sewaktu ulasan Realme GT 2 Pro sebelum ini.

Seterusnya, Android 12 dengan padanan pelancar ColorOS12.1 digunakan. Tiada perubahan mendadak sebaliknya antara muka kelihatan kemas dengan sentuhan cukup minimalis. Ia juga menggunakan ikon serta elemen warna yang menarik untuk dilihat. Oppo turut membenarkan anda melakukan kostumasi untuk beberapa ciri seperti fungsi Always-On-Display dengan corak serba baharu. Kemudian, ia juga menyokong tetapan warna skrin yang sesuai dengan mata pengguna. Turut disertakan adalah fungsi mencipta animasi avatar 3D dinamakan omoji dan beberapa ciri seperti di bawah :

- Flexible Windows – Pengalaman multitask lebih cekap menerusi tetingkap terapung.
- Quick Return – Akses pantas untuk kembali ke mana-mana aplikasi dengan mengetik pada tetingkap kembali.
- Quick Launch – Akses pantas ke aplikasi atau fungsi yang kerap digunakan.
- Smart Sidebar – Aktifkan bar di sisi bagi membolehkan aplikasi dilancarkan dengan cepat.
- Kid Space – Penggunaan akan lebih selamat untuk diakses oleh kanak-kanak.
- Simple Mode – Teks & ikon akan menjadi lebih besar. Kemudian, audio juga akan kedengaran lebih kuat apabila mod ini diaktifkan.

Komen mengenai kebolehan telefoni, tiada isu yang ditemui untuk mendapatkan isyarat 4G yang stabil. Pada masa sama, pengalaman panggilan yang dibuat dan diterima juga adalah baik. Ia cukup jelas untuk didengari dengan jelas dan terang. Seterusnya, kemampuan GPS juga baik dengan kebolehan menjejak dan mengunci lokasi dengan baik.
Kemampuan Kamera
Pada dasarnya, Oppo telah meletakkan Find X5 Pro sebagai peranti fotografi. Tiada lagi kamera mikroskop seperti Find X3 Pro sebelum ini tetap kemampuan sistem kamera lebih baik disertakan dengan cip berasaskan NPU tersendiri yang dikenali sebagai MariSilicon X. Di samping itu, Oppo turut bekerjasama dengan Hasselblad untuk pemprosesan gambar lebih baik. Kerjasama adalah selama tiga tahun. Ini bermakna, kita bakal melihat beberapa lagi peranti Oppo dengan sokongan kamera Hasselblad yang dihasilkan pada masa akan datang.

Berbalik kepada cip Marisilicon X tadi, secara ringkasnya ia akan menambah baik rakaman video dan foto yang diambil dalam pencahayaan malap. Menurut Oppo, ia menyokong perisian pengurangan hingar dengan kemampuan kecerdasan buatan. Ini bagi memulihkan butiran pada imej dan rakaman video yang mungkin hilang disebabkan oleh kurangnya pencahayaan.

Oppo Find X5 Pro menggunakan sistem tri-kamera di belakang. Dua daripadanya menggunakan lensa 50MP dengan sensor Sony IMX766. Satu adalah untuk sensor utama, sementara itu satu lagi 50MP adalah untuk kebolehan ultra-lebar. Kalau masih ingat, ini adalah sensor yang sama digunakan pada Find X3 Pro sebelum ini. Penggunaan sensor yang sama ini juga membolehkan penghasilan semula gambar menggunakan kamera utama dan ultra-lebar mempunyai warna yang tidak jauh berbeza. Sensor ketiga pula adalah sejenis telefoto 13MP dengan kemampuan 2X zum optik, 5X zum hibrid dan 20X zum.

Berdasarkan pengalaman, kami mendapati kamera pada Oppo Find X5 Pro berfungsi dengan baik sekali – terutamanya untuk kamera utama dan ultra-lebar. Bermula dengan aplikasi kamera, ia boleh digunakan dengan lancar tanpa sela masa yang ketara meskipun peranti menggunakan sensor bersaiz besar. Dalam masa sama, sistem autofokus pada peranti ini juga berfungsi cukup pantas untuk pelbagai situasi dan keadaan. Anda juga boleh temui pelbagai mod kamera terbina seperti Night, Video, Photo, Potrait, Pro, Pano, Dual-View Video dan sebagainya.

Dari segi prestasi kamera, kami berpuas hati dengannya. Baik digunakan pada waktu siang atau malam, kualiti gambar adalah baik sekali. Ia nampak terang dan berwarna-warni. Subjek dan objek yang diambil kelihatan tajam tanpa masalah hingar yang ketara. Mungkin pada sesetengah keadaan, ada masanya menunjukkan warna dan kontras yang agak saturated. Tetapi, sebahagian besar imej yang diambil memberikan hasil yang memuaskan, selain turut boleh terus dimuat-naik ke media sosial tanpa sebarang suntingan tambahan.










Begitu juga dengan tangkapan pada waktu malam. Boleh dikatakan, tangkapan menggunakan mod malam terbina atau sebaliknya tidak menunjukkan perbezaan yang begitu ketara. Melainkan pada pencahayaan yang betul-betul malap. Bagaimanapun, hasil gambar yang diambil menggunakan mod malam menunjukkan peningkatan lebih baik. Olahan warna lebih terang berbanding biasa. Perincian juga lebih baik dengan tahap hingar yang boleh diterima. Mod malam terbina juga didatangkan dengan ciri tripod terbina yang memerlukan sokongan alat tambahan. Hal ini kerana proses tangkapan mengambil sedikit masa bergantung pada pencahayaan. Dalam masa sama, anda juga perlu memastikan peranti tidak bergoyang walaupun sedikit untuk hasil tangkapan yang memuaskan.





Seperkara lagi, ia turut menawarkan ciri menukar auto-makro. Ciri ini ada pada kamera utama, di mana sensor akan berubah secara automatik apabila ia diaktifkan. Maksudnya di sini, misal kata anda sedang menggunakan kamera utama pada jarak yang dekat dengan subjek. Sensor tadi akan berubah secara automatik menjadi makro. Ia bagaimanapun masih boleh dinyahaktifkan menerusi tetapan sekiranya mahu.

Hasil kerjasama dengan Hasselblad turut membolehkan anda menggunakan mod XPan seperti yang terdapat pada peranti OnePlus sebelum ini. Ia akan menghasilkan gambar dengan nisbah aspek yang cukup luas seakan pengalaman klasik menggunakan kamera Hasselblad Xpan. Secara lalainya, ia akan memaparkan mod monokrom, tetapi anda masih boleh mengubahnya kepada mod berwarna sekiranya mahu.


Dalam pada itu, ia turut menawarkan kebolehan untuk melaras tahap dedahan cahaya secara manual mengikut kesesuaian. Sebagai tambahan, turut terdapatnya beberapa penuras menarik terbina yang dihasilkan oleh Hasselblad. Dikenali sebagai Radiance, Serenity dan Emerald, ketiga-tiganya menawarkan penghasilan semula imej yang berbeza senario. Contoh adalah seperti di bawah :



Beberapa isu yang wujud adalah sukar untuk mendapatkan hasil gambar potret yang sempurna. Kami dapati edge detection tidak sempurna dan ia mengaburkan latar belakang yang salah untuk sesetengah situasi. Contoh paling ketara boleh dilihat pada salah satu foto yang menunjukkan tali buaian dikaburkan sekaligus menjadikan ia kelihatan pelik.

Selain daripada itu, kemampuan zum pula adalah baik sehingga 5X. Selebihnya dirasakan agak tidak sesuai kerana gambar kelihatan pecah. Kekurangan ini ditambah lagi dengan viewfinder yang terhuyung-hayang membuatkan proses mengambil gambar menjadi terganggu.
Bateri
Oppo Find X5 Pro dibekalkan bateri 5000mAh yang mana lebih besar berbanding pendahulunya. Sistem pengecasan turut ditambah-baik dengan sokongan mencapai 80W yang semestinya mampu memendekkan masa proses pengecasan semula peranti. Bersama-sama dengannya, ia turut menyokong sistem pengecasan nirwayar dengan kuasa output 55W.
Prestasi bateri adalah bergantung pada penggunaan. Secara purata, bacaan SOT boleh mencapai antara 6 – 7 jam dan penggunaan pula melebihi 12 jam dengan tetapan skrin standard. Draf bacaan SOT kemudiannya menunjukkan sedikit penurunan untuk penggunaan skrin 120Hz yang didapati hanya mampu bertahan hampir 5 jam secara puratanya.
Ia bagaimanapun masih boleh digunakan untuk sehari suntuk sebelum perlu mengecasnya pada malam hari untuk penggunaan yang biasa seperti menyemak mesej di WhatsApp, membaca artikel atau mendengar muzik secara berkala. Kemudian, proses pengecasan semula mengambil masa kurang daripada 1 jam.
Pesaing
Oppo Find X5 Pro | Samsung Galaxy S22 Ultra | Vivo X80 Pro |
6.7″ AMOLED, WQHD+, 120Hz, HDR10+ | 6.8″ Dynamic AMOLED 2X WQHD+, 120Hz, HDR10+ | 6.78″, AMOLED, QHD+, 120Hz, HDR10+ |
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) 1x 3.00 GHz Cortex-X2 3x 2.50 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 | Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) 1x 3.00 GHz Cortex-X2 3x 2.50 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 | Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) 1x 3.00 GHz Cortex-X2 3x 2.50 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 |
Adreno 730 | Adreno 730 | Adreno 730 |
12GB LPDRR5 | 8GB/12GB LPDDR5 | 12GB LPDDR5 |
256 GB UFS 3.1 | 128/256/512GB UFS 3.1 | 256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama 50MP, f/1.9 (utama), OIS 50MP, f/2.2 (ultra-lebar) 13MP, f/2.4 (telefoto) | Kamera Utama 108MP, f/1.8 (utama), OIS 12MP, f/2.2, (ultra-lebar) 10MP, f/2.4 (makro) 10MP, f/4.9 | Kamera Utama 50MP, f/1.8 (utama), OIS 48MP, f/2.0, (telefoto) 12MP, f/2.0 (ultra-lebar) 8MP, f/3.4 (periskop) |
Kamera Hadapan 32-Megapixel | Kamera Hadapan 40-Megapixel | Kamera Hadapan 32-Megapixel |
IP68 | IP68 | Tidak kalis air |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5000mAh (Berwayar 80W) | 5000mAh (Berwayar 45W) | 4700 mAh (Berwayar 80W) |
RM 4999 (12/256 GB) | RM 5099 (8/128GB) RM 5499 (12/256GB) RM 5899 (12/512GB) | RM 4999 (12GB/256GB) |
Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia:
- 1x Oppo Find X5 Pro.
- 1x Kerangka silikon.
- 1x Pengecas 3 pin 80W SuperDart.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Pin SIM.
- 1x Manual.
Kesimpulan
Oppo Find X5 Pro boleh diklasifikasikan sebagai peranti menarik pada tahun ini. Cubaan pertama Oppo menghasilkan cip tersendiri nyata membuahkan hasil apabila hasil yang diberikan bukan sekadar gimik. Namun begitu, tidak bermakna ianya sempurna sepenuhnya kerana masih ada beberapa bahagian yang perlu diperbaiki. Misalnya kebolehan untuk gambar potret yang diharapkan boleh ditambah baik pada masa akan datang. Seterusnya, kebolehan zum juga mungkin boleh ditawarkan bagi menjadikannya mempunyai lebih nilai tambahan yang menarik.

Pujian pula diberikan pada kebijaksanaan Oppo dalam menawarkan tubuh peranti yang baik untuk semua aspek. Penggunaan seramik menjadikan peranti tampil elegan, kemudian penggunaan Corning Gorilla Glass Victus juga sangat membantu untuk melindungi peranti. Seterusnya, kemampuan kamera juga adalah baik secara keseluruhannya dan ketahanan bateri juga baik.
Bagaimana pula dengan harga? RM4,999 mungkin agak tinggi bagi sesetengah pihak. Tetapi, Oppo Find X5 Pro tidak dinafikan sebuah peranti pintar yang baik. Ia turut disarankan buat mereka yang memerlukan sebuah peranti mercu dengan kebolehan kamera cukup baik. Namun begitu, anda juga masih mempunyai beberapa pilihan peranti dengan cip dan prestasi setanding seperti Samsung Galaxy S22+, Samsung Galaxy S22 Ultra, Xiaomi 12, Xiaomi 12 Pro, Poco F4 GT dan Motorola Edge 30 Pro.
Pro
- Rekaan unik & selesa digenggam.
- Gabungan pemproses, RAM dan storan yang baik.
- Skrin 120Hz adaptif yang cantik.
- Kemampuan kamera amat baik.
- Ketahanan bateri & sistem pengecasan pantas yang memuaskan.
Kontra
- Kemampuan potret tidak memuaskan.
- Kemampuan telefoto agak terhad.
- Tiada slot kad mikro SD.
