Menteri Pengangkutan kini telah pun mengeluarkan kenyataan dan komen berkaitan dengan isu kenaikan tambang perkhidmatan seru-pandu seperti Grab.
Seperti ramai sedia maklum, sejak kebelakangan ini, ramai merungut berkenaan dengan kenaikan tambang perkhidmatan seru-pandu, berkali ganda berbanding kebiasaan. Disamping itu, setiap tempahan juga dilihat sukar mendapatkan pengangkutan – disebabkan oleh makin kurang pemandu kereta dibawah program seru-pandu.

Kementerian Pengangkutan mengambil maklum berkenaan perkara ini, dan telah pun bertemu dengan pengendali perkhidmatan seru-pandu berkaitan. Lanjutan daripadanya, ia dmaklumkan yang mana pelbagai faktor ini mempengaruhi formula pengiraa tambang yang digunakan oleh penyedia perkhidmatan, termasuk seperti keadaan cuaca, aliran trafik, permintaan pasaran dan jarak perjalanan.
Menteri Pengangkutan Malaysia turut menyatakan, “dari segi peraturan struktur tambang pula, terdapat dua caj iaitu tambang asas dan surcaj. Kerajaan tidak mengawal tambang asas dan surcaj tidak boleh melebihi dua kali ganda daripada tambang asas, dengan mengambil kira kadar waktu puncak dan harga bahan api. Penyedia perkhidmatan dibenarkan untuk menetapkan struktur tambang mereka berdasarkan formula sendiri dan syarat perkhidmatan mereka dengan pengguna dalam pasaran terbuka.”
Pada masa yang sama, kerajaan menggesa penyedia perkhidmatan untuk meningkatkan saluran komunikasi dengan pengguna.