Huawei telah mengemaskini barisan komputer ribanya dengan beberapa model baharu. Dikenali sebagai Huawei Matebook 16S dan Huawei Matebook D16, kedua-duanya lengkap dengan janaan cip Intel Gen-12, memori 16GB RAM dan storan dalaman mencapai 1TB.

Huawei MateBook 16S dilengkapi skrin sebesar 16-inci IPS LCD dengan resolusi 2520 x 1680 piksel, bernisbah 3:2 dan luas skrin-ke-badan mencapai 90%. Turut melengkapi komputer riba tersebut adalah sokongan untuk gamut warna sRGB 100% dengan kecerahan 300nits.

Seterusnya, ia hadir hadir dalam tiga variasi berbeza dengan pilihan Cip Intel Gen-12 – iaitu i9-12900H, i7-12700H dan i5-12500H. GPU yang digunakan pula adalah Intel Iris Xe. Kemudian, sokongan memori pula adalah 16GB RAM (LPDDR5) bersama storan dalaman 512GB/1TB NVMe PCIe SSD.

Tidak ketinggalan, dua pembesar suara disertakan pada sistem audio Huawei Sound dengan dua mikrofon untuk pengalaman perbualan telesidang yang jelas. Lain-lain spesifikasi termasuklah bateri 84Wh, sistem pengecasan pantas 135W, bluetooth 5.2 dan banyak lagi.
Huawei MateBook D16 pula dilengkapi skrin sebesar 16-inci IPS LCD dengan resolusi 1920 x 1200 piksel dan bernisbah 16:10. Ciri tambahan lain yang disokong termasuklah sokongan untuk gamut warna sRGB 100% dengan kecerahan 300nits. Tetapi, tiada sokongan untuk skrin sesentuh yang ditawarkan pada komputer riba ini.

Cip Intel Gen-12 turut digunakan dengan pilihan variasi i7-12700H dan i5-12500H, di samping padanan GPU Intel Iris Xe. Memori pula 16GB RAM dan storan dalaman pula 512GB of NVMe PCIe. Bateri yang digunakan adalah 60Wh dengan sistem pengecasan pantas 65W.
Untuk harga, Huawei MateBook 16S dijual pada RMB6999 (i5) (~RM4605), RMB7999 (i7) (~RM5266) dan RMB9999 (i9) (~RM6582). Sementara itu, Huawei MateBook D16 pula berharga RMB5699 (i5) (~RM3752) dan RMB6699 (i7) (~RM4408).