Cari @ Amanz

Dua tahun lalu, jenama motorsikal terkemuka Harley-Davidson telah membuka sebuah anak syarikat yang memfokuskan kepada basikal yang dinamakan Serial 1. Terkini, jenama tersebut telah memperkenalkan basikal bukit terbaru mereka yang dinamakan BASH/MTN.

Sebagai sebuah basikal bukit, ia tampil dengan beberapa keputusan rekaan yang boleh dikatakan agak menarik. Ia hadir dengan rangka yang diperbuat daripada logam aluminum, tetapi selain daripada itu, ia tidak dilengkapi dengan ciri-ciri yang secara lazimnya diperlihatkan pada basikal sebegini, iaitu suspension dan hanya mempunyai satu gear.

Malah, satu-satunya penyerap kejutan dapat dilihat pada bahagian tempat duduk basikal ini, yang menggunakan tiang tempat duduk SR Suntour NCX dengan kebolehannya untuk digerakkan sekitar 50mm. Basikal ini juga menggunakan tayar Michelin E-Wild untuk pengalaman berbasikal yang selesa tidak kira terain yang dilalui.

Serial 1 mengatakan bahawa rekaan basikal ini dibuat sedemikian secara sengaja untuk mereka yang tidak mahukan begitu banyak kebergantungan terhadap teknologi dan untuk mengurangkan titik-titik kerosakan terhadap basikal ini.

Walaupun begitu, sebagai sebuah basikal elektrik, BASH/MTN ini masih lagi dimuatkan dengan sebuah bateri 529Wh yang membolehkannya digerakkan sejauh 150km dan boleh ditunggang selaju 32KM/J bergantung kepada mod yang digunakan. Pengecasan penuh basikal ini mengambil masa 5 jam sahaja dan pengecasan ke 75 peratus boleh dicapai dalam masa dua jam setengah.

Basikal BASH/MTN ini sudahpun mula dijual di pasaran-pasaran tertentu seperti Amerika Syarikat pada harga $3999. Serial 1 mengatakan hanya 1050 buah basikal ini akan dibangunkan, dan separuh daripadanya akan dijual di pasaran Amerika Syarikat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd