Sokongan untuk teknologi penghantaran data PCIe 5.0 telah diperkenalkan sejak penghujung tahun lepas dengan siri cip pemprosesan Intel generasi ke-12 Alder Lake bersama-sama dengan papan induk Intel Z690. Walaupun begitu, storan SSD yang boleh memanfaatkan teknologi dan kelajuan penghantaran data tersebut masih belum hadir di pasaran lagi.

Semua itu dilihat bakal berubah kerana Apacer dan juga Zadak, dua syarikat yang dikenali untuk penawaran storan digital mereka telah mengumumkan bahawa kerjasama mereka untuk membangunkan storan PCIe 5.0 telah membuahkan hasil. Kedua-dua jenama ini dilihat hadir dengan penawaran mereka sendiri, iaitu Apacer AS2280F5 dan Zadak TWSG5.
Butiran pilihan storan untuk SSD ini masih tidak diketahui lagi tetapi menurut kedua-dua syarikat ini, storan SSD PCIe 5.0 mereka mempunyai kadar pembacaan data setinggi 13GB/s dan penulisan data sepantas 12GB/s.

Sama seperti SSD PCie 4.0 sebelum ini, penawaran SSD keluaran Apacer dan Zadak ini juga akan hadir dengan bongkah penyejukan yang diperbuat daripada logam untuk menyejukkan cip-cip storan yang terbina.
Buat masa ini, Apacer dan Zadak masih belum mengumumkan lagi tarikh jualan dan juga tanda harga SSD-SSD mereka.