Masihkah anda ingat dengan dunia sebelum Google Street View? Kami perlu mengagak rupa lokasi yang ingin kami lawati di dalam kepala. Sejak Street View mula disokong di Malaysia, ia semudah klik dalam aplikasi dan pusinglah sehingga puas hati. Hari ini Google telah berkongsi rekaan baharu kamera Street View mereka.

Kamera kini lebih ringan dah hanya seberat sekitar 6 kilogram. Dengan ini proses menyandangnya masuk ke dalam hutan, puncak gunung, dan dibawa berkayak di permukaan laut tidak lagi akan menyeksa pemakai. Kamera turut mempunyai sokongan modular dengan komponen seperti LiDAR boleh ditambah sekiranya perlu. Imbasan 3D membolehkan maklumat jalan berlubang dan lokasi penanda jalan lebih tepat dipetakan.
Rekaan baharu ini juga membolehkan ia dibawa oleh pelbagai jenis kenderaan yang digunakan oleh pasukan Street View di masa hadapan. Kemaskini perisian pula membolehkan ia dikawal terus dari dalam sebuah telefon pintar sahaja.