Selepas Dragon Ball dan FreeFire, Realme sekali bakal hadir dengan penawaran peranti pintar edisi terhad yang menarik. Untuk kali ini, mereka dilihat bakal menampilkan peranti bertemakan anime Naruto dalam kolaborasi baru.

Sebahagian kemasan pada peranti turut telah diperlihatkan menerusi perkongsian terkini Ketua Pegawai Pemasaran Realme iaitu Xu Qi Chase. Ia menunjukkan peranti hadir dengan kemasan modul kamera bewarna perak dengan penjenamaan bersama di antara Realme dan anime berkenaan. Turut boleh dilihat dengan jelas susunan lensa padanya adalah sama seperti yang terdapat pada sebuah Realme GT Neo3.

Sekiranya benar, peranti juga dijangka menawarkan spesifikasi yang sama seperti model sedia ada. Cumanya, ia mungkin disertakan dengan beberapa ciri yang membuatkannya tampak menarik. Misalnya seperti antara muka tersesuai, tema, ikon dan gambar latar yang bertemakan anime tersebut.
Peranti pintar ini bakal dilancarkan di China pada 26 Mei 2022. Sama-sama kita nantikan perkembangan selanjutnya selepas ia diumumkan secara rasmi kelak. Dalam pada itu, kita juga bakal melihat penawaran tablet baharu Realme pada acara yang sama.