Logitech Memperkenalkan Aksesori Papan Kekunci Dan Tetikus Siri Master Baru Dengan Fokus Terhadap Produktiviti

Diterbitkan pada Mei 25, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Logitech ialah sebuah jenama yang cukup terkenal untuk penawaran aksesori komputer mereka, khususnya untuk industri gaming. Kini, melalui siri Logitech Master Series mereka, tiga buah aksesori komputer baru telah diperkenalkan untuk tujuan produktiviti di pejabat dan juga di rumah.

Aksesori-aksesori ini termasuklah papan kekunci Logitech Master MX Mechanical, MX Mechanical Mini dan juga tetikus Logitech MX Master 3S.

Bermula dengan siri papan kekunci MX Mechanical dan MX Mechanical Mini, model pertama hadir dengan saiz papan kekunci penuh, manakala MX Mechanical Mini hadir dengan saiz 75% yang membuang bahagian numpad.

Papan kekunci ini hadir dengan pilihan suis berprofil rendah keluaran Logitech, yang termasuklah taktil senyap (Brown), clicky (Blue) dan linear (Red). Lebih menarik lagi, Logitech turut mengatakan bahawa sejumlah komponen-komponen plastik papan kekunci ini diperbuat daripada plastik kitar-semula PCR (Post-Consumer Recyclable).

Papan kekunci ini juga hadir dengan enam mod pencahayaan yang mana ia juga hadir dengan pengimbas cahaya latar yang akan memadamkan lampu LED apabila ia mengesan cahaya daripada persekitaran.

Bagi mereka yang mahu sebuah tetikus ergonomik yang padat dengan ciri-ciri tambahan, tetikus MX Master 3S mungkin untuk anda. Tetikus ini hadir dengan sensor optikal dengan kelajuan 8,000 DPI yang boleh digunakan diatas pelbagai jenis permukaan, termasuklah gelas.

Tetikus ini menggunakan roda MagSpeed Electromagnetic yang mana apabila dipusing, boleh menatal melalui 1000 barisan teks sesaat. Dengan perisian Logi Options+, anda juga boleh mengubahsuai pelbagai tetapan pada tetikus MX Master 3S ini, termasuklah fungsi butang, sistem pencahayaan dan profil-profil pengguna.

Sama dengan papan kekunci Logitech Master MX Mechanical, sebahagian daripada binaan tetikus MX Master 3S ini juga diperbuat daripada plastik PCR.

Menurut Logitech, siri papan kekunci MX Mechanical dan tetikus MX Master 3S sudahpun mula dijual di pasaran-pasaran terpilih pada harga berikut. Harga MX Mechanical Mini akan diumumkan kelak:

  • Logitech Master MX Mechanical – $169.99
  • Logitech MX Master 3S – $99

komen


© Amanz / 2022 Kami