iPhone 14 Pro Mungkin Menyokong ProMotion 1Hz-120Hz Dan Always-On Display

Diterbitkan pada Mei 25, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sejak sebelum iPhone 13 Pro dilancarkan lagi, sudah ada khabar angin yang Apple mungkin akan menyertakan sokongan kadar segar semula dan ciri skrin sentiasa hidup Always-On Display. Namun, ketika ia dilancarkan hanya sokongan ProMotion sahaja disertakan iaitu kadar segar semula tinggi adaptif.

iPhone 13 Pro dan 13 Pro Max menggunakan skrin dengan panel LTPO untuk sokongan kadar segar semula adaptif ini. Tetapi ProMotion ini tidak seperti kadar segar semula tinggi pada Android, ia hanya menyokong 10Hz ke 120Hz berbanding 1Hz ke 120Hz.

Penganalisa terkenal Ross Young menjangkakan yang iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max kelak mungkin akan menyokong ProMotion yang adaptif 1Hz ke 120Hz. Selain itu, dengan sokongan baharu ini ia turut boleh menyokong ciri Always-On Display yang membolehkan skrin sentiasa memaparkan masa, tarikh, status bateri dan notifikasi.

Sokongan Always-On Display pada produk Apple setakat ini hanya terhad pada Apple Watch yang turut menggunakan skrin LTPO. Tidak pasti lagi sama ada adakah Apple akan menyertakan ciri ini pada iPhone 14 Pro akan datang. Sama-sama kita nantikan.

Sumber: MacRumors

komen


© Amanz / 2022 Kami