Cari @ Amanz

Pandemik COVID-19 yang membelenggu dunia sejak dua tahun lalu dilihat telah menyebabkan peningkatan jumlah serangan siber melalui teknik-teknik seperti perisian hasad, perisian tebusan dan serangan DDoS keatas pelbagai individu, institusi dan perniagaan.

A10 Networks, sebuah syarikat penganalisa sekuriti digital baru-baru ini telah melaporkan bahawa penggunaan serangan DDoS semakin meningkat, dengan mengatakan bahawa sebanyak 15.4 juta komputer dengan perisian DDoS terpasang bersedia untuk digunakan untuk serangan sekuriti besar seterusnya.

Dalam pada itu, mereka juga mengatakan bahawa serangan keatas mesin pelayan menggunakan kerentanan daripada Log4j (sistem log yang memproses dan memperlihatkan mesej ralat seperti 404 Page Not Found) telah meningkat dari tahun-ke-tahun, dan ia dilaporkan bahawa 75 peratus daripada imbasan Log4j berasal dari Rusia, yang mana ia memperlihatkan bahawa penggodam dari negara tersebut sedang mencari sebanyak kerentanan yang boleh ditemui.

Malah, institusi-institusi penting dan perniagaan kini disyorkan untuk menggunakan sistem sekuriti Zero Trust ataupun Sifar Kepercayaan yang mana setiap bahagian proses penggunaan sistem dalaman, dari pengguna, peranti, perisian dan juga infrastruktur sentiasa diperiksa untuk memastikan bahawa tiada ruang diberikan untuk pihak luar mengakses data, maklumat dan fungsi sesebuah rangkaian.

“Kebelakangan ini, serangan-serangan keatas perniagaan dan entiti kerajaan dilihat meninggalkan kesan yang sangat serius di seluruh dunia. A10 Networks menjejak asal-usul serangan-serangan DDoS ini disamping vektor-vektor serangan yang lain untuk memastikan bahawa pelanggan kami sentiasa dijaga daripada serangan godaman seperti ini. Penggunaan sistem sekuriti Sifar Kepercayaan ini penting untuk membolehkan institusi-institusi kekal selamat dan boleh beroperasi seperti biasa apabila jumlah serangan keatas individu dan syarikat-syarikat semakin meningkat.” menurut Dhrupad Trivedi, presiden dan CEO A10 Networks.

Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai laporan sekuriti A10 Networks ini, anda boleh ke laman web ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd