Cari @ Amanz

Menjelang pelancaran rasmi, nampaknya lebih banyak maklumat mengenai siri Honor 70 yang dikongsi. Jika sebelum ini, persoalan mengenai sensor kamera telah terjawab. Kini, giliran cip pemprosesan dan sistem pengecasan pula didedahkan.

Tidak seperti sebelumnya, Honor akan menggunakan cip keluaran MediaTek untuk kali ini iaitu Dimensity 9000 dengan padanan GPU Turbo X. Ini adalah cip yang sama digunakan pada Vivo X80 dan Redmi K50 sebelum ini. Cip ini juga dikatakan mampu memberikan persaingan kepada Snapdragon 8 Gen 1, Exynos 2200 dan A15 Bionic pada peranti yang dikeluarkan tahun ini.

Di samping itu, peranti tersebut juga akan dibekalkan dengan bateri yang menyokong sistem pengecasan pantas 100W. Di mana, sistem pengecasan ini turut pernah digunakan pada Honor Magic 4 Pro sebelum ini yang dikatakan mampu mengecas mencapai 100% dalam hanya 30 minit.

Sekali lagi menjadi persoalan di sini adalah masih tidak diketahui variasi mana satu yang bakal menyokong kesemua ini. Ia berikutan Honor dikhabarkan besar kemungkinan memperkenalkan sehingga tiga variasi berbeza. Ini termasuklah Honor 70, Honor 70 Pro dan Honor 70 Pro+.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd