Carian
Rolls-Royce Boat Tail II Dijual Pada Harga RM 132 Juta Sebuah
May 26, 2022 Effi Saharudin

Beberapa hari yang lalu sebuah 1955 Mercedes-Benz 300 SLR Uhlenhaut Coupe menjadi kereta paling mahal pernah dijual pada harga RM630 juta. Harga yang tinggi dicapai kerana kereta ini adalah klasik yang menjadi impian peminat automotif.

Bagi mereka yang terlepas membida untuk membeli kereta tersebut, mungkin mereka boleh membeli pula sebuah Rolls-Royce Boat Tail II yang dijual pada harga $30 juta (~RM132 juta) sebuah. Rolls-Royce Boat Tail II ialah satu daripada tiga Boat Tail yang akan dikeluarkan oleh Roll Royce menjadikannya sebuah kereta edisi yang amat terhad.

Kereta ini sebenarnya adalah tempahan khas dari seorang ahli perniagaan yang terlibat dalam industri penjualan mutiara. Warna kenderaan misalnya diambil dari empat sampel mutiara yang diberikan oleh pemilik untuk dijadikan inspirasi. Panel belakang yang berbentuk seperti belakang bot menggunakan kayu Royal Oak yang tahan lasak.

Ia dikustomasi dengan set berkelah yang diletakkan di ruangan boot kereta lengkap dengan cagak khas untuk meletakkan payung untuk mengelakkan silau mentari. Kereta kini memasuki koleksi peribadi pemilik yang menempahnya. Dalam masa beberapa tahun atau dekad jika ia kemudiannya dijual ia mungkin boleh mencecah harga yang sama seperti 1955 Mercedes-Benz 300 SLR Uhlenhaut Coupe tempoh hari.

Komen